Bagaimana JDT Menaikkan Standard Liga Super Malaysia Dalam Masa 12 Tahun
Ada sebab mengapa JDT dilihat beria-ria menaikkan standard Liga Super dalam tempoh 12 tahun ini.
25 Jun 2014. Selepas 23 tahun kemarau trofi, JDT akhirnya ditabalkan sebagai juara Liga Super selepas menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Kuching. Kejayaan itu turut melayakkan JDT ke playoff kelayakan AFC Champions League (kini AFC Champions League Elite, ACLE) untuk musim 2015.
Mundar laju ke 12 tahun kemudian, pada Jun 2026. JDT kini sudah jauh maju ke hadapan. Nama ‘Johor Darul Ta’zim’ sudah ditempa sebanyak 12 kali di trofi Liga Super. Pada 12 tahun lepas, JDT perlu melalui playoff kelayakan AFC Champions League (di mana JDT terkandas pada pusingan kedua playoff selepas tewas 0-3 kepada Bangkok Glass (kini BG Pathum United)), kini JDT adalah nama tetap dalam ACLE. Malah pada musim lepas, JDT mara sehingga pusingan suku akhir sebelum ditewaskan 1-2 oleh kelab gergasi Arab Saudi yang juga merupakan juara bertahan ACLE, Al-Ahli.
Dalam kemajuan dan kejayaan yang dilakar oleh JDT, secara tidak langsung ia mengangkat imej Malaysia. Liga Super Malaysia yang sebelum ini digelar ‘Liga Gred D’, kini secara konsisten berjaya menghantar sebuah kelab yang mampu bersaing secara kompetitif di peringkat elit Asia. Liga Super Malaysia yang sebelum ini mempunyai ‘inferiority complex’ dengan liga domestik Thailand, Vietnam dan Indonesia, kini menjadi salah satu destinasi pemain-pemain elit Eropah dan Asia untuk berkelana di Asia. Malah oleh kelab luar negara juga (apabila DPMM Brunei menyertai Liga Super pada musim 2025-26).
Jadi bagaimana JDT, secara sendirinya, berjaya meningkatkan imej Liga Super Malaysia dalam masa 12 tahun? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu menelusuri proses evolusi Harimau Selatan daripada sebuah pasukan pencabar kejuaraan di Malaysia kepada pasukan ‘Top 10’ di Asia (menurut Opta Power Rankings).
‘Long ball’ kepada penguasaan bola
Sebelum JDT ditubuhkan pada 2013 lagi, sudah ada suara peminat bola sepak tempatan yang mempersoalkan, “Kenapa pasukan-pasukan Liga Super dan skuad kebangsaan kita sendiri suka main long ball?”. Tapi tak ada seorang pun yang mempunyai keberanian untuk menjawab soalan tersebut dan menyahut cabaran untuk mengubahnya.
Sehinggalah DYAM Tunku Mahkota Ismail menubuhkan JDT pada tahun 2013.
Di JDT, baginda memperkenalkan satu konsep yang asing di Malaysia, tetapi sudah menjadi norma dalam bola sepak moden: sistem.
Bukan sekadar formasi. Tetapi sistem. Sejak 2013, baginda tidak pernah berkompromi dengan identiti sistem permainan JDT; ofensif, menyerang melalui peredaran bola bertempo tinggi dan kawalan ruang Juego de Posición, dan counter-pressing agresif apabila hilang bola. JDT mungkin bertukar-tukar formasi musim demi musim — kadang-kadang 4-3-3, 4-2-3-1 atau 3-4-3 — tetapi identiti permainan mereka tetap sama. Daripada skuad bawah-12 sehinggalah ke senior.
Kesannya kepada liga? Drastik. Dahulu kemahiran taktikal dan teknikal pemain kurang mempengaruhi keputusan Liga Super, sebaliknya ia lebih memihak kepada pasukan mana yang mempunyai penyerang yang boleh ‘membuli’ lawan dengan kualiti fizikal mereka. Kini kemahiran taktikal dan teknikal pemain-pemain JDT yang ‘membuli’ lawan mereka. Dan paling membanggakan, JDT membuktikan pemain-pemain tempatan juga mempunyai kebolehan bermain dalam sistem ini.
Model penswastaan kelab bertaraf dunia
Sebelum adanya JDT di Liga Super pada tahun 2013, semua pasukan ada duit. Tapi semuanya meletakkan keutamaan perbelanjaan bajet yang salah. Setiap tahun kerajaan negeri bagi duit, dan setiap tahun juga ia dihabiskan untuk skuad senior semata-mata.
Tiada perancangan untuk membina atau menaik taraf fasiliti kelab. Tiada akademi untuk pembangunan bakat akar umbi elit. Semua pasukan mengharapkan kerajaan — melalui Liga KPM, Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan sesi pemilihan pemain terbuka — untuk membentuk skuad Piala Belia dan Piala Presiden. Di negara bola sepak maju, sesi pemilihan terbuka hanya dibuat untuk pencarian pemain bawah-12. Tapi di Malaysia anehnya, sesi pemilihan terbuka dibuat untuk mencari pelapis skuad senior.
Hanya selepas DYAM Tunku Mahkota Ismail menubuhkan JDT pada 12 tahun lepas, barulah ada orang menegur supaya kelab-kelab Liga Super menaik taraf padang, fasiliti kelab dan membangunkan akademi kelab sendiri. Bukannya membelanjakan semua duit untuk membeli pemain skuad senior. “Kelab mampu bayar berjuta untuk pemain import, tetapi tidak mampu belanja RM200,000 setahun untuk menjaga padang? Ini bukan soal kekurangan wang, ini soal keutamaan,” tegas baginda.
Banyak kelab di Malaysia menghadapi masalah kewangan, daripada hutang gaji pemain hingga kegagalan menyelenggara fasiliti. Baginda menekankan pentingnya pengurusan kewangan yang realistik: “Ada RM10, belanja RM15. Lepas itu bila gagal bayar gaji, semua salahkan FAM, MFL, dan JDT. Semua orang salah kecuali diri sendiri.”
Sebelum Thailand, Vietnam dan Kemboja bersungguh-sungguh menaik taraf kualiti padang stadium masing-masing, bermula 2023, JDT sudah mula memperkenalkan penggunaan rumput Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 2019. Kemudian pada musim 2025-26, Harimau Selatan menaikkan lagi penanda aras Liga Super dengan menggunakan teknologi rumput hibrid, yang turut digunakan di stadium-stadium terbaik di Eropah.
Dalam usaha baginda untuk menaikkan lagi standard padang di Malaysia, baginda bukan sahaja menegur. Malah turut menaja kos RM1.4 juta untuk menanam rumput baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menyumbang dana sebanyak RM300,000 kepada setiap kelab yang menerima Geran Penyelenggaraan Padang daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Tidak cukup dengan menyediakan Liga Super dengan padang berkualiti premium di SSI, JDT kini sedang membina sebuah kompleks latihan bersepadu seluas 39 ekar bersebelahan SSI pula. Kompleks yang diilhamkan daripada Valdebebas, pusat latihan Real Madrid yang dianggap sebagai antara yang terbaik di dunia ini, direka untuk menempatkan keseluruhan pipeline kelab — daripada akademi sehinggalah ke pasukan senior — di bawah satu bumbung.
Apa yang ada di dalamnya bukan sekadar padang latihan. Turut dibina adalah padang dalam bangunan (indoor), mini stadium sendiri, dewan auditorium, pusat sains sukan, unit pemulihan dan rehabilitasi, suite analisis prestasi, dan pusat perubatan bertaraf dunia.
Kenapa JDT beria naikkan standard?
Sekarang kita tiba ke soalan yang paling mustahak: kenapa JDT beria-ia mahu menaikkan standard Liga Super? Bukankah lebih baik jika standard itu diturunkan supaya lebih banyak pasukan boleh memberi persaingan dan seterusnya menjadikan Liga Super lebih sengit?
Mesej JDT kepada seluruh Liga Super adalah jelas: untuk menandingi sistem permainan kami, anda perlu menaik taraf padang dan fasiliti kelab anda atau berisiko ditinggalkan lebih jauh lagi. Ini kerana ketika ini Harimau Selatan bukan lagi bersaing dengan kelab Malaysia. Mereka sedang membina infrastruktur untuk bersaing dengan kelab Asia Barat dan Timur secara struktur.
Anda hanya boleh bersaing dengan kelab-kelab Asia Barat dan Timur dengan menaikkan standard kelab dan liga anda. Bukannya dengan merendahkan lagi supaya ‘liga jadi sengit’. Anda hanya boleh menandingi kuasa wang kelab-kelab Asia Barat dengan menaikkan standard fasiliti kelab anda. Bukannya merendahkan lagi supaya ‘liga kita tak jadi liga petani’. Anda hanya boleh menaikkan kualiti skuad kebangsaan anda dengan menyediakan liga yang berkualiti tinggi. Bukannya merendahkan lagi kualiti liga supaya lebih banyak pemain tidak berkualiti dapat minit bermain.



