Bagaimana Gerard Pique Menaikkan Nilai Komersial Kings League 12x Dalam 1 Tahun
Digelar sebagai 'liga bola sepak untuk Gen Z' oleh media dan 'liga sarkas' oleh Presiden La Liga, Kings League berpotensi 'mengancam' bola sepak tradisional.
Pada satu petang bulan Julai 2022, Gerard Pique duduk di sebuah meja restoran di Barcelona untuk menikmati makan tengah hari bersama dua orang. Di sebelah kirinya adalah rakan bisnesnya, Oriol Querol. Di hadapannya duduk seorang budak 27 tahun.
Badannya gempal. Sekali pandang, nampak seperti budak itu tersilap meja. Tetapi di meja itu, budak itu sebenarnya tetamu Pique dan Querol. Namanya Ibai Llanos. Pada tahun 2021, Forbes memberinya gelaran ‘pempengaruh paling popular’ di Sepanyol (15 juta pengikut Twitch, 11 juta pengikut YouTube dan 16.8 juta pengikut di TikTok).
Agenda pertemuan mereka bertiga 100% bisnes. Tujuan Pique dan Querol mengajak Llanos makan tengah hari bersama adalah hanya satu—untuk menubuhkan liga bola sepak baharu.
Pique memulakan pertemuan dengan menerangkan konsep liga baharu tersebut; namanya Kings League. Dalam liga ini, menurut Pique, pempengaruh seperti Llanos adalah pemilik kelab.
Llanos terus bersetuju.
Dalam masa 30 minit berikutnya, Llanos berjaya meyakinkan dua kawan pempengaruhnya; Gerard Romero (1.1 juta pengikut Twitter) and Spursito (1.59 juta pengikut YouTube)—yang kebetulan duduk di Barcelona juga—untuk datang ke restoran itu sekarang juga.
“Dalam masa kurang sejam, kami dah dapat tiga pemilik kelab yang memang kami sasarkan,” kata Querol.
Beberapa bulan kemudian, beberapa pempengaruh lain menyertai Kings League, antaranya DjMaRiiO (9 juta pengikut YouTube), xBuyer (5.6 juta pengikut di YouTube) dan TheGrefg (11.5 juta pengikut Twitch). Pique turut mengajak Sergio Aguero yang sudah aktif di Twitch dan mengumpul 4.8 juta pengikut. Iker Casillas—walaupun bukan pempengaruh media sosial—turut diajak Pique kerana keaktifannya melabur dalam bisnes selepas bersara.
Permainan video dalam dunia sebenar
Kings League mendapat banyak gelaran daripada ramai orang sejak musim 2023/24 bermula pada Januari tahun lepas.
Ada yang menggelarnya ‘liga Gen Z’ kerana sejumlah besar audiensnya terdiri daripada Gen Z. Presiden La Liga, Javier Tebas menggelarnya ‘liga sarkas’ dan ‘takkan bertahan lebih enam bulan’. Ada juga yang menggelarnya ‘permainan video dalam dunia sebenar’.
Tak sukar untuk memahami sebabnya. Kerana Kings League boleh diumpamakan seperti liga bola sepak yang di-Frankenstein-kan dengan NBA, NFL, NHL, kriket T20, polo air dan permainan video.
Secara asasnya, Kings League adalah sebuah liga bola sepak 7-sebelah yang disertai oleh 12-pasukan domestik. Dalam satu musim, ada tiga trofi menjadi rebutan: juara Winter Split, juara Summer Split dan juara Kings Cup. Jika pasukan anda bagus, anda akan layak ke Kings World Cup (ibarat FIFA Club World Championship).

Satu perlawanan berdurasi 40 minit (dua separuh masa 20 minit).
Setiap pasukan mempunyai 12 pemain; 10 daripadanya dipilih melalui draf seperti NBA dan NFL. Kebanyakannya terdiri daripada pemain amatur dan semi-pro.
Pemain ke-11 terdiri daripada bekas pemain pro yang tak boleh ditukar-tukar setiap minggu. Antara pemain yang pernah mengisi slot ini:
Jonathan Soriano (172 gol dalam 202 perlawanan untuk FC Salzburg)
Raul Tamudo (129 gol dalam 340 perlawanan untuk Espanyol).
Manakala, pemain ke-12 terdiri daripada bekas pemain pro yang boleh ditukar-tukar setiap minggu. Antara pemain yang pernah mengisi slot ini:
Antonio Barragan
Javier Saviola
Sergio Aguero
Joan Verdu
Javier ‘Chicharito’ Hernandez
Ronaldinho
Andriy Schevchenko
Joan Capdevila
Ruben de la Red
Fabian Orellana
Andrea Pirlo
Djibril Cisse
Paling menarik, pempengaruh xBuyer pernah membawa seorang pemain profesional La Liga sebagai pemain ke-12 pasukannya. Disebabkan pemain ini masih mempunyai kontrak profesional, dia sebenarnya dilarang bermain di Kings League oleh kelab dan ejennya. Jadi untuk melindungi identitinya, pemain ini memakai topeng dan memakai nama “Enigma”.
Jika anda dah kata ini gila, dengar dulu apa peraturan permainannya:
Sepak mula dibuat seperti sukan polo air. Dua pasukan kena berbaris di garisan gol dan perlu lari untuk mendapatkan bola di tengah padang apabila penggera berbunyi.
Penggantian pemain tiada had.
Ada ‘sin bin’. Pemain perlu meninggalkan padang selama dua minit jika mendapat kad kuning; lima minit kad merah.
VAR ada, tapi hanya digunakan bila diminta pasukan sahaja. Jika keputusan VAR memihak, pasukan anda boleh minta VAR lagi. Jika keputusan VAR tak memihak, pasukan anda hilang terus hak meminta VAR.
Jika selepas 40 minit kedua-dua pasukan seri, penentuan penalti akan dibuat. Tetapi untuk mengambil sepakan penalti, anda kena bermula dari garisan tengah padang dan perlu menjaringkan gol dalam masa lima saat.
Sebelum perlawanan, ketua jurulatih kena pilih satu kad emas daripada lima pilihan secara rawak (ketua jurulatih tak tahu kad apa yang dipilihnya). Lima kad tersebut adalah:
Penalti serta-merta (aktifkan kad ini, pasukan anda terus dapat penalti)
Curi kad orang lain (aktifkan kad ini, pasukan anda boleh curi kad pasukan lawan)
Buang satu pemain lawan selama dua minit
Satu gol yang dijaringkan (dalam masa 60 saat selepas kad diaktifkan) = dua gol
Joker; di mana ketua jurulatih boleh pilih salah satu daripada empat kad di atas.
Siaran percuma tetapi nilai tinggi
Sekarang anda faham kenapa Kings League berbeza dengan liga bola sepak tradisional yang lain. Malah, anda mungkin tergerak hati untuk memuji kebijaksanaan Pique mencipta liga ini.
“Kadang-kadang, dua puluh minit perlawanan Champions League pun langsung tak ada benda menarik yang berlaku,” kata Pique.
“Saya ada dua orang anak. Mereka susah nak fokus tengok bola. Tapi mereka boleh tengok dua-tiga content sekaligus pada masa yang sama. Kita kena beradaptasi dengan apa yang audiens sekarang nak dan suka.”
Dari situlah datangnya idea Pique untuk meliberalisasikan hak siaran Kings League.
Kalau ikut cara lama, Pique perlu menubuhkan pasukan penyiarannya sendiri. Tetapi Pique dan Querol memberi kebenaran kepada pempengaruh terpilih untuk menyiarkan semua perlawanan di saluran masing-masing—Twitch, YouTube, and TikTok—secara percuma. Inilah cara baharu.

Dan inilah sebabnya mengapa Pique mahu pempengaruh besar seperti Llanos, Gerard Romero, Spursito, DjMaRiiO, xBuyer dan TheGrefg menjadi pemilik kelab terus dalam Kings League.
Model siaran percuma di saluran pempengaruh ini membantu Kings League:
Menarik lebih 800,000 penonton di Twitch dan YouTube pada perlawanan pertamanya
Mengumpul lebih 13 juta pengikut di semua saluran media sosialnya
Mencatat lebih 80 juta jam kandungan telah ditonton
Mencatat 82 juta views di TikTok
Menjadi saluran Twitch kedua paling banyak tontonan di Sepanyol
Menjadi liga bola sepak paling banyak tontonan di TikTok, melebihi audiens Premier League dan La Liga
Nilai komersial naik 12x
Tak dapat dinafikan strategi siaran unik itu menyebabkan Kings League kehilangan jutaan Euro dalam bentuk pendapatan hak penyiaran.
Tetapi dengan kos operasi yang rendah, Kings League berjaya mencatatkan keuntungan pada tahun pertama operasinya. Semuanya hasil penajaan komersil (dengan Infojobs, Oysho, Cupra, McDonald’s, Spotify, Adidas, Mahou, Xiaomi, Gatorade, Visa dan Nescafe) serta RM15.3 juta hasil jualan tiket tiga perlawanan di Nou Camp.
Aliran kewangan yang positif ini meyakinkan sebuah konsortium pelaburan (yang dianggotai oleh Left Lane Capital, Fillip dan Cassius) untuk melabur RM306 juta—12x daripada kos operasi liga. Difahamkan objektif pelaburan ini adalah untuk melihat Kings League diperluaskan ke Jerman, England, Amerika Syarikat dan Brazil.
Setakat ini dengan menggunakan modal sendiri, Pique dan Querol telah berjaya melebarkan sayap ‘liga Gen Z’ ini ke bola sepak wanita (Queens League), Itali dan Latin America.
Dengan pelaburan dan penajaan musim 2024/25 nanti, Pique berkata gaji pemain slot draf akan naik dari minimum RM1,530 sebulan kepada minimum RM12,740 sebulan. Peningkatan insentif ini dialu-alukan kerana majoriti semi-pro liga Sepanyol yang bermain di Kings League hanya mendapat gaji RM2,548 sebulan!
Ini juga bermakna Kings League akan mampu membayar lebih banyak bekas bintang-bintang bola sepak untuk mengisi slot pemain ke-11 dan ke-12.

Jika anda suka dengan kupasan ini, sila share dengan kawan dan keluarga.





