Bagaimana Beliau Boleh Terpilih Wakili Malaysia?
Penyokong turut mempersoalkan bagaimana beliau boleh terpilih di kesebelasan utama semalam.
Selepas mengharungi tiga perlawanan Piala Asean 2026, akhirnya Malaysia telah pun mencatat kekalahan pertama mereka di tangan Thailand menerusi keputusan 0-2.
Beraksi di gelanggang lawan, pelbagai jangkaan diletakkan oleh penyokong dengan ada berkeyakinan Harimau Malaya mampu meneruskan rentak positif.
Pada masa sama, ada juga sudah menjangkakan Malaysia bakal mengalami kekalahan pertama selepas melihat jurang kualiti kedua pasukan tersebut.
Kekalahan ini meletakkan Malaysia berada di tangga kedua Kumpulan B dengan berkongsi 6 mata bersama Thailand, tetapi pasukan lawan berkelebihan satu lagi perlawanan.
Usai tamat perlawanan, jelas pelbagai kritikan keras diberikan oleh penyokong yang kecewa dengan kualiti permainan pasukan kebangsaan yang dianggap serba tidak menjadi.
Aliff Haiqal undang persoalan penyokong
Salah seorang pemain kebangsaan yang menjadi tumpuan peminat di media sosial, terarah kepada tonggak tengah, Aliff Haiqal Lau yang dipertaruhkan dalam kesebelasan utama.
Ramai tertanya-tanya atas kapasiti apa yang menjadikan Aliff Haiqal sebagai pilihan utama Tan Cheng Hoe untuk berdepan dengan cabaran Thailand.
Ini kerana, beliau antara pemain yang sangat tidak konsisten musim lalu buat Selangor di pentas Liga Super atau kejohanan lain disertai kelab tersebut.
Dengan hanya 18 kali dibawa turun beraksi, Aliff gagal memberikan impak besar buat pasukan tersebut dengan tiada sebarang sumbangan gol turut direkodkan.
Adakah Aliff begitu teruk semalam?
Hendak dikatakan begitu teruk juga tidak boleh, kerana beliau tetap memberikan impak buat Malaysia walau sedikit sepanjang tempoh 90 minit diberi peluang beraksi.
Ini merupakan statistik Aliff Haiqal ketika berdepan Thailand semalam:
•0 gol
•0 bantuan gol
•1 percubaan
•2 hantaran kunci
•36/38 hantaran tepat
•45 sentuhan
•3 kali hilang penguasaan bola
•2 kali pintasan bola
•1 kali rampasan bola
Secara keseluruhan pula, Sofascore memberi rating sebanyak 6.7 kepada Aliff untuk menjadi antara pemain Malaysia paling menyakinkan pada aksi berkenaan.
Secara kesimpulan, Aliff bukanlah seorang pemain yang sangat teruk, tetapi penyokong mahu impak lebih baik mampu ditawarkan pemain berkenaan selain ada pertikaian mengapa beliau dipilih dalam kesebelasan utama berbanding Wan Kuzain.
Bangkit dengan lebih baik
Selain itu, penyokong juga menyeru supaya Malaysia kembali bangkit dengan aksi lebih matang pada siri perlawanan seterusnya bertemu Filipina.
Kualiti serangan dan disiplin pertahanan antara diberi penekanan supaya perkara seperti semalam tidak lagi berulang pada perlawanan selanjutnya.
Misi tiga mata seterusnya cukup penting buat Malaysia dan mereka tidak boleh lagi tewas jika ingin melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan tersebut.








