Aston Villa Boleh Tuntut Waranti Tak?
Baru harungi pramusim, tapi ramai dah tak puas hati dengan beliau!
Selepas mengharungi beberapa perlawanan pramusim, Aston Villa dilihat masih sedang menyesuaikan diri dengan Unai Emery sering membuat beberapa rombakan dalam kalangan para pemain.
Tampil selaku juara Europa League, sudah tentu ramai melihat Aston Villa bagi saingan musim 2026/2027 selaku salah satu pasukan tumpuan dengan sentuhan Unai terus dikekalkan.
Selain itu, beberapa muka baharu seperti Joao Gomes, Johan Manzambi, dan Alejandro Garnacho juga dianggap sangat penting dalam memperkukuhkan lagi pasukan berkenaan di pentas domestik dan antarabangsa.
Sehingga kini, mereka sudah pun mengharungi beberapa perlawanan di Eropah dan turut membuat siri jelajah Asia Tenggara untuk menguji kekuatan semasa daripada segi taktikal dan para pemain.
Walaupun begitu, ada beberapa perkara kurang disenangi para penyokong sepanjang melihat Aston Villa mengharungi saingan pramusim tersebut dengan salah satunya melibatkan pemain ini, Alejandro Garnacho.
Tiada impak positif daripada Garnacho
Garnacho dibawa masuk Aston Villa menerusi pinjaman dilakukan kelab tersebut daripada Chelsea untuk tempoh satu musim penuh, dengan membawa pelbagai jangkaan dalam kalangan peminat.
Dalam dua aksi pramusim ini, pemain serangan Argentina itu gagal memberikan sebarang impak yang positif ketika bertemu Pilihan Indonesia dan BG Pathum (Thailand), daripada segi sumbangan gol.
Malah, tular video di media sosial kini menunjukkan salah satu hantaran sia-sia yang dilakukan oleh Garnacho gagal untuk dibaca oleh mana-mana rakan sepasukan di atas padang.
Pemain tersebut juga tidak beraksi penuh, kerana dinyatakan mengalami kecederaan sebelum digantikan oleh George Hemmings pada penghujung separuh masa pertama perlawanan.
Malah, setiap gerakannya dilihat kurang lincah dan beberapa kali berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan yang hanya beraksi di saingan Asia Tenggara sahaja.
Peminat gusar dengan Garnacho
Timbul persoalan dalam kalangan penyokong kelab tersebut, jika kelab berkenaan membuat keputusan yang salah ketika menandatangani khidmat bekas tonggak Manchester United itu untuk saingan akan datang.
Umum mengetahui, Garnacho gagal memberikan impak yang bagus sejak beberapa musim ini, termasuk ketika mewakili Chelsea pada saingan musim lalu di beberapa kejohanan.
Pada saingan musim lalu menyaksikan Garnacho hanya mampu menyumbang 12 gol sahaja daripada 43 penampilan bersama The Blues dalam semua kejohanan disertai kelab tersebut, termasuk saingan UEFA Champions League.
Malah, Garnacho bukanlah pilihan utama kelab, dengan hanya beliau diberi peluang di kesebelasan terbaik dalam 22 perlawanan sahaja, selain diketepikan di bangku simpanan serta faktor kecederaan.
Ketika ramai melihat beliau selaku salah satu pemain muda terbaik meningkat naik, pada usia 22 tahun kini Garnacho dilihat sukar untuk membuktikan keupayaanya dalam saingan peringkat tertinggi.






