Arsenal Takkan Berjaya Tanpa Arteta
22 tahun penantian yang cukup berbaloi, apabila akhirnya Arteta bantu Arsenal muncul juara EPL!
Dengan keputusan seri 1-1 diraih Manchester City ketika berdepan Bournemouth kini, akhirnya Arsenal telah pun dinobatkan selaku juara Premier League musim 25/26.
Bermula dengan rombakan di awal musim, jelas Mikel Arteta mempunyai impian cukup besar dalam memastikan pasukan tersebut mampu menggapai impian, yang turut diharapkan oleh para penyokong.
Seperti kelab-kelab lain, Arteta juga tidak terlepas daripada krisis permainan yang tidak konsisten, sehingga mereka hilang peluang untuk cuba meraih dua lagi trofi domestik lain.
Namun, beliau perlahan-lahan bangkit semula dan kini The Gunners sudah mampu menutup mulut pengkritik yang menganggap Arteta bakal terlepas lagi peluang membantu Arsenal meraih kejuaraan.
Malah, bekas pemain Arsenal, Thierry Henry sendiri antara yang terkesan dengan kejuaraan diraih Arsenal kini, selepas kali mereka muncul juara di era pemain tersebut musim 2002/2003.
Henry tampil emosi
“22 tahun lamanya untuk penantian ini. 22 tahun bermimpi, menanti, merana, berharap dan percaya, biarkan ia dibenam kini.
“Saya tahu apa maknanya kelab ini buat semua orang. Saya tahu apa yang penyokong kelab ini lalui. Kebanyakan mengetawakan Arsenal, mengejek kelab ini, mempersoalkan tentang pemain, proses pembangunan, persoal jika Arsenal mampu berada di puncak kembali.
Tetapi penyokong Arsenal kekal bersama. Mereka kekal tidak pernah henti memberi sokongan kepada pasukan ini sejak awal,” ulas Henry.
Kredit buat Arteta
Pada masa sama, Henry mengakui segala kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa sentuhan Arteta sejak awal penyertaannya bersama The Gunners.
“Apa yang dia lakukan buat kelab ini sukar dipercayai. Arteta telah kembalikan identiti permainan, disiplin, serta hubungan bersama penyokong. Paling penting sebuah kepercayaan.
“Dia tersungkur, dia bangun dan belajar, dia kekal kuat ketika berada dalam tekanan dan hari ini, Arteta layak mendapat kredit atas pencapaian dilakarnya bersama Arsenal,” ujar Henry lagi.
Penyokong Arsenal, sila nikmati kejuaraan ini!
Henry turut memberikan kredit kepada pemilik kelab, Josh Kroenke dan Stan Kroenke kerana terus memberi kepercayaan penuh kepada Arteta sehingga kini.
Selain itu, penghargaan turut diberikan beliau buat pemain yang memberikan segalanya demi lencana di dada demi mencipta sejarah baharu pasukan.
“Dan kepada penyokong Arsenal dari seluruh dunia, nikmati saat-saat ini. Raikan bersama keluarga, rakan-rakan, dan semua yang masih setia menyokong pasukan ini,” katanya akhir sekali.
Kami di SB sendiri ingin mengucapkan tahniah kepada Arsenal atas kejuaraan mereka di pentas EPL pada edisi kali ini.






