Arsenal Serba ‘Tempang’ Sebelum Hadapi Man United
Aksi English Premier League (EPL) terus bersambung hari ini dengan membabitkan pertemuan antara Arsenal dan Manchester United di Stadium Emirates.
Jika dilihat pada reputasi semasa, jelas The Gunners merupakan pasukan pilihan hari ini untuk memenanginya, apatah lagi mereka berkelebihan bermain di halaman sendiri.
Lebih menarik, Arsenal masih lagi belum tewas sejak 12 perlawanan lalu dalam semua saingan disertai mereka termasuk aksi UEFA Champions League (UCL).
Malah, skuad kendalian Mikel Arteta juga masih segar dengan kemenangan terbaharu mereka 3-1 ke atas Inter Milan beberapa hari lalu di pentas UCL sebelum melayan kunjungan Man United pagi nanti.
Terarah kepada Man United pula, mereka hanya mencatat satu kekalahan sahaja sejak lima perlawanan terakhir diharungi, selain masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Manchester City pada Sabtu lalu.
Bawah kendalian Michael Carrick, beberapa perubahan positif mula dirasai para peminat yang melihat kualiti permainan The Red Devils semakin meningkat.
Man United juga hari ini hadir dengan membawa dua misi penting untuk memastikan memontum Arsenal selaku peneraju EPL tergugat, serta mencari peluang ke saingan UCL musim akan datang.
Arsenal ada isu kecederaan dan kecergasan pemain
Untuk perlawanan pagi ini, Arsenal sebenarnya turut dibayangi dengan isu kecederaan dan kecergasan pemain yang mungkin akan diketepikan sebelum menghadapi pelawat.
Menurut laporan, Piero Hincapie dan Ricardo Calafiori masih baru menyertai sesi latihan bersama kelab selepas pulih daripada kecederaan.
Isu kecergasan bakal menjadi persoalan utama jika kedua pemain berkenaan berpeluang dibawa turun atau tidak pada aksi berkenaan. Namun besar kemungkinan juga mereka bakal diketepikan seketika.
Kelibat penyerang mereka, Kai Havertz sendiri dikatakan masih belum cergas sepenuhnya selepas beliau menjalani tempoh pemulihan daripada siri kecederaan pada bahagian lutut.
Manakala bintang muda, Max Dowman kekal diketepikan bagi aksi hari ini kerana beliau masih belum pulih daripada kecederaan dan ia sebenarnya tidak begitu menjejaskan persiapan Arsenal.
Man United mungkin hilang 2 khidmat pemain
Situasi sama juga melanda Man United apabila pertahanan kental mereka, Matthijs de Ligt masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selain Joshua Zirkzee sendiri bakal diketepikan sebelum hadapi Arsenal.
Ini menyaksikan beberapa perubahan mungkin dibuat Carrick daripada segi penyediaan pemain bersesuaian sebelum berdepan dengan cabaran The Gunners, dengan Mason Mount serta Heaven mungkin menjadi keutamaan.
Apapun, aksi pagi ini dijangka bakal berlangsung sengit kerana kedua pasukan masing-masing berada pada momentum terbaik untuk merebut tiga mata penting di Stadium Emirates.











