Arne Slot Tak Sabar Nak Membazir Lagi
Beliau dah ada perancangan yang baik untuk musim depan bersama Liverpool. Sabar semua.
Saingan English Premier League (EPL) musim 2025/2026 secara rasminya telah pun tamat, dengan membawa pelbagai cerita menarik untuk diperkatakan.
Antaranya, sudah tentu terarah kepada juara musim lalu, Liverpool yang mengalami penurunan cukup drastik daripada segi prestasi semasa ditampilkan.
Jika musim lalu Arne Slot dipuja penyokong selaku pengurus baharu yang mampu membuat perubahan lebih besar selepas era kegemilangan Jurgen Klopp, sebaliknya berlaku kini.
Rata-rata penyokong menyuarakan hasrat supaya pengendali tersebut disingkirkan supaya masa depan Liverpool terjamin semula untuk saingan hadapan.
Ditambah dengan pasukan itu sendiri bakal kehilangan Mohamed Salah yang menjadi antara faktor kekuatan Liverpool sejak beberapa musim lalu, ramai mengharapkan perubahan lebih baik mampu dibuat.
Bagaimana perjalanan Liverpool 25/26?
Boleh dikatakan cukup hambar, jika kita lihat penyertaan mereka dalam lima kejohanan musim ini termasuk saingan UEFA Champions League (UCL).
Untuk aksi EPL, mereka menamatkan cabaran musim ini di tangga kelima dengan mengumpul 60 mata maksima dan merekodkan 17 kemenangan sahaja daripada 38 perlawanan.
Bagi saingan Piala FA dan UCL, mereka tamatkan cabaran lebih awal di peringkat suku akhir, manakala EFL Cup pada pusingan keempat serta naib juara Community Shield, selepas tewas kepada Crystal Palace.
Hugo Ekitike boleh dikatakan pemain Liverpool yang cukup bagus musim ini, selepas beliau merekodkan 23 sumbangan gol secara keseluruhan buat The Reds.
Selebihnya, Florian Wirtz memerlukan masa untuk tampil menyesuaikan diri dalam permainan dan Alexander Isak lebih banyak berehat akibat kecederaan dialami daripada dipertaruhkan di atas padang.
Slot bakal tandatangani pemain baharu
Selepas dianggap membazir menerusi ramai muka baharu ditandatangani tapi tidak membuahkan hasil, Slot dilaporkan bakal meneruskan lagi usaha beliau musim seterusnya.
“Kami bawa ramai pemain baharu musim lalu. Bila mereka dah ada semula, perubahan pastinya akan berlaku.
“Setiap pasukan dah tentu akan tandatangani muka-muka baharu sekurangnya 1 atau 2 pemain berbeza. Kami pun akan lakukannya juga. Kami perlukan semua orang bersedia, dan keputusan kami sudah tentu bakal bertambah baik,” ujar Slot.
Walaupun begitu, kritikan tetap timbul dengan ada peminat menyatakan Slot hanya membuat satu lagi pembaziran bersama keputusan permainan tidak jelas di atas padang.
Suka atau tidak, pengendali itu perlu membuat perubahan lebih baik atau nasib pasukan berkenaan akan terus berulang seperti dihadapi mereka musim 25/26.





