Arne Slot Nak ‘Ajar’ PSG Di Anfield
Selepas diaibkan PSG pada aksi lalu, Slot seakan mendapat formula terbaik untuk atasi lawan di Anfield.
Liverpool tampaknya menghadapi tugas berat pada aksi kedua suku akhir UEFA Champions League (UCL) akan datang di Anfield, untuk melayan kunjungan Paris Saint Germain (PSG).
Apa tidaknya, pasukan tersebut sebelum itu mencatat kekalahan 0-2 ketika beraksi di gelanggang lawan dengan kualiti permainan cukup mengecewakan.
Jika diimbas semula pada aksi lalu, skuad kendalian Arne Slot gagal menyaingi kualiti tuan rumah, baik daripada segi kualiti permainan atau statistik serangan untuk menggembirakan peminat mereka.
Apa yang ditampilkan The Reds ketika itu boleh dikatakan sangat negatif baik daripada segi penguasaan permainan atau tiada sebarang percubaan tepat langsung berjaya dilancarkan.
Statistik penuh juga menyaksikan PSG jauh menguasai permainan dan mereka begitu mudah memberikan tekanan-tekanan tinggi kepada pelawat dari pelbagai arah.
Amukan peminat di media sosial
Seperti biasa, penyokong The Reds seolah tidak dapat dihentikan lagi apabila mereka mengamuk di media sosial dengan pelbagai kecaman diberikan kepada pasukan tersebut.
Paling utama, nama Arne Slot antara paling teruk menerima kecaman, dengan ramai menyifatkan beliau kini sudah tidak relevan langsung untuk mengendalikan kelab berkenaan.
Tidak menghairankan jika kita lihat pada situasi semasa penyokong The Reds yang meluahkan kekecewaan mereka terhadap prestasi semasa pasukan tersebut di atas padang.
Ini kerana Liverpool masih lagi segar dengan kekalahan pada aksi Piala FA lalu di tangan Southampton sehingga mereka terlepas peluang ke pusingan separuh akhir.
Ditambah dengan konsistensi pemain seperti Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah yang kurang menyakinkan, ianya dianggap terus menambah bebanan kepada Slot untuk mengatur rencana terbaik.
Slot yakin Liverpool mampu bangkit
Walaupun dihujani dengan pelbagai tekanan dan kritikan daripada peminat dan pemerhati bola sepak, Slot tampaknya masih mempunyai keyakinan tinggi akan nasib pasukannya di pentas UCL.
“Aksi selepas ini di Anfield bakal berbeza sepenuhnya. Saya bersyukur kerana kami masih lagi bersaing dalam kejohanan ini.
“Sudah tentu kami masih lagi mempunyai harapan untuk aksi suku akhir kedua nanti. Dalam dunia bola sepak, semuanya boleh berlaku.
“Dalam sukan bola sepak juga, kad merah, insiden penalti ya atau tidak, dan jangan lupa Anfield boleh melakukan banyak perkara,” ujar Slot.
Apapun, ini bakal menjadi tugas paling sukar buat Slot sebenarnya pada aksi akan datang, jika beliau masih optimis mahu membawa Liverpool ke pentas separuh akhir.





