Arne Slot Minta Jaminan 1 Musim Lagi Dengan Liverpool
Beri semusim lagi untuk Slot, akan beliau goncang kembali saingan musim 26/27!
Pengurus Liverpool, Arne Slot memberi jaminan perubahan besar bakal dibuat beliau buat Liverpool untuk kembali menjadikan kelab tersebut pada prestasi terbaik.
Slot yang menyertai Liverpool pada pertengahan tahun 2024 pada awalnya hadir dengan reputasi cukup menyakinkan selaku pengganti Jurgen Klopp sebagai pengendali The Reds.
Musim pertama bersama Liverpool, beliau berjaya memastikan pasukan berkenaan muncul selaku juara English Premier League (EPL), sekali gus mengulangi kejayaan Jurgen Klopp pada musim 2019/2020.
Dengan langkah pertama yang positif, ramai memberi harapan tinggi kepada pengendali dari Belanda tersebut untuk terus menjulang Liverpool ke arah lebih tinggi seperti di saingan UCL pula.
Tak kurang, ada turut menganggap Slot mungkin mampu menjadi lebih baik daripada Klopp selepas melihat pendekatan pengendali tersebut buat The Reds.
Malang buat Slot
Sebelum tirai saingan bermula, rombakan besar telah dilakukan beliau dengan beberapa muka baharu dibawa masuk dengan tanda harga cukup tinggi untuk diperkatakan.
Mereka berjaya membawa masuk pemain serangan berpengaruh seperti Florian Wirtz dan Alexander Isak, selain beberapa lagi bintang ternama dalam usaha untuk mengekalkan momentum musim lalu.
Malang pula berlaku, apabila krisis permainan Liverpool mula berlaku dengan beberapa keputusan negatif direkodkan beliau bersama The Reds.
Selain isu penyesuaian pemain baharu bersama kelab yang memerlukan masa lebih panjang, krisis kecederaan dan faktor penurunan prestasi beberapa tonggak utama juga memberi kesan kepada perjalanan semasa Slot.
Sehingga kini juga, nasib Slot untuk memastikan Liverpool memastikan prestasi semasa pasukan tersebut masih belum menyakinkan walau saingan liga sudah menuju ke penghujungnya.
Jaminan Slot untuk musim hadapan
Walaupun begitu, pengendali ini masih lagi berada pada tahap keyakinan cukup tinggi untuk memastikan nasib Liverpool kembali berubah musim hadapan.
“Saya 100% yakin yang kami akan tampil sebagai pasukan yang berbeza untuk musim hadapan,” ujar beliau menerusi perkongsian telah dibuat oleh Fabrizio Romano.
Menerusi kenyataan beliau, dijangka rombakan lebih besar mungkin berlaku pada musim seterusnya dengan beberapa lagi muka baharu bakal diikat The Reds.
Tanpa Mohamed Salah yang menjadi nadi utama kelab sebelum itu, sudah tentu Slot menyedari betapa pentingnya kini untuk beliau mendapatkan pengganti bersesuaian bagi kehilangan tonggak utama Mesir itu.
Walaupun begitu, Slot kini kekal dikritik hebat dalam kalangan penyokong yang kecewa dengan nasib Liverpool di pentas domestik serta kejuaraan Eropah musim ini.
Jika tiada perubahan dapat dibuat, sudah tentu pengendali berkepala botak tersebut juga bakal menjadi mangsa pecat seperti dilalui beberapa pengurus lain sebelum itu.





