Apakah Faktor Kekalahan Selangor Di Tangan JDT?
Selangor terpaksa menelan hakikat kekalahan terbaharu mereka pada aksi terbaharu bagi saingan Liga Super di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selangor terpaksa menelan hakikat kekalahan terbaharu mereka pada aksi terbaharu bagi saingan Liga Super di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT),menerusi keputusan 0-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menerusi keputusan tersebut, ini merupakan kekalahan kali ke-9 berturut-turut di tangan skuad Harimau Selatan sejak tahun 2022 lalu, dengan sangat konsisten bagi semua kejohanan yang membabitkan pertemuan dua kelab berkenaan.
Walaupun banyak perubahan dan rombakan dibuat oleh Selangor saban musim, pasukan ini nampaknya masih lagi buntu untuk menamatkan badi tersebut sejak empat tahun lalu lagi.
Rekod terbaik Selangor ketika berdepan Harimau Selatan? Mungkin pada tahun 2017 lalu apabila mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan lawan bagi persaingan Liga Super.
Selepas itu, mereka hanya mampu mencatat dua kali keputusan seri dan selebihnya berakhir dengan kekalahan yang cukup perit untuk ditelan oleh para peminat.
Kesilapan mudah hukum Selangor
Jika kita imbas semula pada aksi semalam, Selangor bukannya tidak beraksi dengan baik untuk mengimbangi penguasaan JDT, tetapi kesilapan mudah menjadi penghalang buat mereka demi meraih keputusan lebih positif.
Bermula dengan salah faham antara pertahanan dan penjaga gol Selangor daripada segi komunikasi, ia membuka peluang JDT meraih gol pertama mereka hasil jaringan sendiri pasukan lawan.
Kesilapan Richmond Ankrah yang membuat hantaran ke belakang tidak sepatutnya kepada Kalamullah hampir membuka peluang kepada pemain lawan untuk mendapatkan gol kedua, sebelum ianya ditepis keluar.
Struktur permainan tidak tersusun
Mungkin faktor gugup atau lambat menyesuaikan diri di atas padang menjadi faktor mengapa struktur permainan pasukan berkenaan gagal tampil dengan kualiti lebih menyakinkan.
Selain Faisal Halim, Diarra, Syahir Bashah, dan Chrigor Moraes, selebihnya tampak gugup dan kerap membuat beberapa kesilapan mudah yang membuka peluang buat pasukan lawan mendominasi permainan.
Jika diikutkan, prestasi JDT juga tidak begitu baik pada perlawanan ini, cuma mereka lebih baik daripada segi persefahaman dan sentiasa menutup setiap kelompongan sebelum diisi oleh The Red Giants.
Lebih perit, Selangor gagal untuk bangkit dengan lebih baik di separuh masa kedua walaupun pada awalnya tampak sedikit memberansangkan menerusi asakan demi asakan ke arah kubu pelawat.
Isu konsistensi yang terus menghantui pasukan tersebut musim ini, diteruskan pada aksi berdepan JDT, apabila kelonggaran pertahanan membuka peluang buat Bergson da Silva mendapatkan gol.
Kesimpulan
Ini mungkin bukan aksi yang berkualiti tinggi ditampilkan kedua pasukan tersebut semalam, cuma JDT layak memenangi perlawanan itu disebabkan mereka lebih konsisten dan tersusun daripada segi permainan jika dibandingkan tuan rumah.
Selangor cuba mengatasi masalah tersebut di separuh masa kedua dengan meningkatkan intensiti permainan serta cuba kembali memburu gol penyamaan demi membuka peluang pada perlawanan berkenaan.
Tetapi, isu konsistensi menjadi penghalang segalanya, dan ia dihukum menerusi gol minit akhir perlawanan untuk memastikan Selangor terus kemarau kemenangan ke atas JDT sejak beberapa musim lalu.






