Apabila Carlo Ancelotti ‘Dicucuk Hidung’
Nak sangat ikut kehendak ramai penyokong, maka beliau perlu mengambil tanggungjawab penuh bagi aksi Piala Dunia ini.
Piala Dunia 2026 bakal berlangsung tidak lama sahaja lagi dan setiap negara terlibat sudah mula mengumumkan barisan pemain bakal memikul tanggungjawab di saingan tersebut.
Beberapa negara juga kini giat menjalankan aksi persahabatan sebagai persiapan terakhir melihat keadaan pemain dan kesesuaian taktikal sebelum mengharungi kejohanan Piala Dunia akan datang.
Walaupun begitu, Brazil dilihat antara pasukan yang bermasalah sejak awal menerusi senarai pemain dipanggil dan isu kecederaan dialami walaupun mereka kini sedang berada dalam fasa terakhir persiapan dan sudah mengharungi aksi persahabatan.
Neymar alami kecederaan
Laporan sebelum itu menyatakan Neymar ditimpa kecederaan yang memaksa beliau diketepikan untuk beraksi dalam siri perlawanan persahabatan serta menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain.
Jika diikutkan, Neymar pada musim ini memang antara pemain yang kerap mengalami kecederaan ketika bersama Santos selain turut menghadapi isu kecergasan di atas padang.
Lebih mengharukan keadaan, Neymar juga berkemungkinan tidak beraksi dalam beberapa perlawanan awal bersama Brazil di pentas Piala Dunia akibat kecederaan dialami.
Malah dalam aksi persahabatan baru-baru ini ketika menentang Panama, beliau juga tidak ada dalam senarai pemain beraksi.
Kesilapan Ancelotti membawa padah
Suka atau tidak, Carlo Ancelotti terpaksa meneruskan juga perancangan beliau kini bersama Brazil walaupun tempang sedikit tanpa Neymar akibat masalah dihadapi.
Terdahulu, beberapa peminat sudah mempersoalkan kredibiliti beliau yang tetap menyenaraikan bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan wakaupun ada lebih ramai pemain serangan lain boleh disenaraikan.
Mengekalkan Neymar untuk kempen Piala Dunia kali ini adalah suatu kerugian sebenarnya kerana kekosongan slot tersebut sepatutnya mampu diisi oleh pemain lain lebih berkelayakan.
Di media sosial, beberapa peminat terus mengkritik Ancelotti dengan tidak kurang ada yang menyatakan, “padan muka” kepada beliau kerana merisikokan diri menyenaraikan Neymar.
Tetap kekalkan Neymar?
Persoalan timbul kini jika Ancelotti sebenarnya berani atau tidak untuk menyingkirkan Neymar pada saat akhir sebelum aksi Piala Dunia bermula tidak lama sahaja lagi.
Di sebelah pihak lain, sudah tentu ramai penyokong Brazil tidak berpuas hati jika Ancelotti mengambil keputusan tidak menyenaraikan Neymar juga pada kejohanan berkenaan.
Ini kerana, Piala Dunia 2026 mungkin menjadi detik akhir buat Neymar beraksi kerana faktor usia yang membataskan pemain berkenaan untuk terus konsisten di peringkat tertinggi.
Maka, aksi Piala Dunia 2026 ini menjadi peluang terakhir kepada penyokong untuk melihat beliau beraksi dan sudah tentu amukan bakal berlaku sekiranya Ancelotti menyingkirkan pemain tersebut.
Kata akhir dibuat
Ya, akhirnya Ancelotti memilih untuk mengekalkan pemain tersebut walaupun Neymar masih lagi samar-samar untuk diberi peluang beraksi pada saingan akan datang.
Jika diikutkan prestasi semasa, ramai memuji Brazil tetap kuat kini dan gambaran semasa sudah dilihat ketika mereka membelasah Panama dalam aksi persahabatan.
Tetapi, jangan dilupakan negara lain juga rancak membuat persiapan rapi dan mempunyai ‘squad depth’ yang sangat kuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan.





