Apa Yang Buat The Athletic Tertarik Dengan Kisah JDT
JDT kini semakin giat memburu sejarah di pentas dunia. Dominasi baharu yang tak pernah difikirkan oleh kebanyakan kelab lain sehingga mendapat perhatian media terkemuka antarabangsa.
Andy Jones mempunyai satu panggilan video penting pada 16 April lepas. Di seberang skrin, Luis Garcia — bekas pemain Barcelona, Liverpool dan Atletico Madrid, kini Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim — muncul dari bilik hotelnya di Jeddah, Arab Saudi. Bagi Jones, wartawan The Athletic, ini bukan temu bual biasa. The Athletic adalah media sukan digital paling berprestij di dunia; sebuah platform yang lebih selesa menulis tentang Manchester City, Real Madrid dan Bayern Munich. Tetapi pada hari itu, Jones mahu tahu tentang sebuah kelab dari Malaysia.
Apa yang membuatkan The Athletic rasa nak tahu sangat tentang kisah JDT?
Tiga Perlawanan Dari Sejarah
Jawapannya bermula dengan satu angka: 105.
Itulah bilangan perlawanan Liga Super Malaysia yang JDT lalui tanpa sekali pun tewas; satu rentetan yang bermula pada April 2021 dan masih berterusan hingga hari ini. Menurut data RSSSF yang disebut oleh The Athletic, hanya satu sahaja pasukan dalam sejarah bola sepak dunia yang pernah melakukan lebih baik daripada JDT ketika ini: ASEC Mimosas. Kelab dari Ivory Coast itu mencatat 108 perlawanan tanpa kalah antara 1989 dan 1994. JDT kini hanya kurang tiga perlawanan lagi untuk menyamai rekod, dan kurang satu perlawanan lagi selepas itu untuk memecah rekod dunia itu.
Dalam erti kata lain, untuk mencipta rekod baharu dunia ini, JDT perlu melakukan dua perkara. Pertama, kekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam baki tiga perlawanan Liga Super musim ini. Kedua, menang perlawanan Piala Sumbangsih musim depan.
Jika anda pernah tertanya-tanya mengapa sebuah media sukan dari Barat mengambil tahu tentang sebuah kelab bola sepak dari Malaysia, inilah jawapannya. Rekod dunia tidak mengenal sempadan geografi. Dan JDT sedang mengetuk pintu sejarah itu.
Selain rentetan tanpa kalah di liga, The Athletic turut menyebut satu lagi angka yang lebih mengagumkan: 144. Itulah bilangan perlawanan domestik — merangkumi semua pertandingan domestik (Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) — yang JDT lalui tanpa kalah sejak November 2021.
£14 Juta Lawan Dunia
Tetapi rekod semata-mata tidak cukup untuk menarik perhatian The Athletic. Yang benar-benar mencuri tumpuan mereka adalah konteks di sebalik rekod itu.
Ketika Garcia bercakap dengan Jones dari Jeddah, JDT baru sahaja melangkah ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) — kali pertama dalam sejarah kelab. Lawan mereka? Al Ahli, pasukan milik Tabung Pelaburan Awam kerajaan Arab Saudi, dengan barisan bintang seperti Riyad Mahrez, Ivan Toney dan Franck Kessie dalam skuad mereka.
Garcia tidak menyembunyikan jurang itu. “Bajet kami hampir £14 juta (kira-kira RM83 juta) berbanding bajet mereka — nisbahnya lebih kurang 1:12,” katanya kepada The Athletic. “Itu menunjukkan jurang yang sangat besar. Anda perlu bersaing dengan cara yang berbeza.”
Bersaing dengan cara yang berbeza. Itulah frasa yang paling jujur menggambarkan perjalanan JDT di pentas Asia. JDT tidak akan pernah menang dalam perang wang. Tetapi mereka tidak pernah bertarung dengan senjata yang sama.
Sistem Yang Dibina Untuk Kekal
Cara yang berbeza itu punya nama: sistem.
The Athletic memberikan gambaran yang lebih lengkap tentang apa yang sedang dibina di Johor. JDT adalah satu-satunya kelab di Malaysia yang mengendalikan akademi profesional sepenuh masa — dari peringkat bawah-12 hingga bawah-23. Pada musim ini sahaja, pasukan-pasukan akademi JDT telah merangkul 11 trofi peringkat bawah umur. Garcia, yang membesar di La Masia Barcelona, tidak menyembunyikan kekagumannya kepada Jones dengan apa yang telah dibina oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail di Johor.
Permata akademi itu? Arif Aiman. “Dia sangat laju, banyak kemahiran, kemampuan untuk memenangi situasi satu lawan satu. Dia tidak kenal rasa takut,” kata Garcia. Penyerang berusia 23 tahun itu sudah memenangi Pemain Paling Berharga negara buat tiga kali berturut-turut — dan kini sedang diperhatikan oleh kelab-kelab di Asia dan Eropah.
Di sebalik semua ini — stadium bertaraf dunia, hubungan strategik dengan Paris Saint-Germain, Borussia Dortmund dan Juventus, status kelab nombor satu Asia Tenggara dalam Opta Power Rankings — ada satu visi yang tidak pernah berganjak sejak 2013. Visi yang bermula jauh sebelum Garcia tiba. Jauh sebelum nama-nama besar mula memandang ke arah Johor.
Ianya dalah visi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang mengambil alih kepimpinan bola sepak Johor pada 2012 dan menaikkan standard bola sepak tempatan. Tanpa visi itu, tiada apa yang ada hari ini untuk ditulis oleh The Athletic mengenai Johor dan Malaysia. Tiada rekod 105 perlawanan. Tiada suku akhir ACLE. Tiada berita positif yang menarik untuk audiens bola sepak global.. Bola sepak Malaysia akan kekal sebagai satu lagi negara bola sepak yang tidak signifikan.
Kenapa Kisah Ini Penting
Kembali kepada soalan asal: apa yang buat The Athletic tertarik dengan kisah JDT?
Jawapannya bukan sekadar rekod 105 perlawanan. Bukan sekadar kemaraan ke suku akhir ACLE. The Athletic tertarik kerana JDT mewakili sesuatu yang jarang berlaku dalam bola sepak moden; sebuah kelab kecil dari negara kecil yang menolak untuk bermain mengikut peraturan orang lain. Dan dalam proses itu, JDT mencipta naratifnya sendiri.
Garcia menyimpulkan perjalanan JDT dengan tepat, “Kami sudah sampai ke satu titik yang bersejarah untuk kelab ini. Ia satu momen yang sangat istimewa.” Dalam dunia bola sepak, liputan The Athletic adalah mata wang yang tidak boleh dibeli. Ia hanya datang apabila anda sudah melakukan sesuatu yang cukup besar untuk memaksa dunia memberi perhatian.
JDT sudah melakukan itu. Dan di sebalik setiap perlawanan, setiap trofi, setiap baris yang ditulis oleh Andy Jones, ada satu nama yang tidak perlu disebut untuk dikenali. Kerana sistemnya sudah cukup bersuara.





