Skuad Harimau Malaya secara rasminya telah pun mengumumkan senarai pemain mereka untuk aksi antarabangsa yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.
Untuk aksi antarabangsa akan datang, Malaysia bakal menghadapi dua perlawanan Tier 1 berdepan China dan Yemen pada 14 November serta 21 November nanti di China dalam misi menaikkan lagi ranking semasa.
Menerusi perkongsian Malaysia NT di media sosial terdahulu, seramai 24 pemain telah terpilih untuk mengharungi dua perlawanan tersebut tidak lama sahaja lagi.
Jika kita lihat pada senarai kali ini, beberapa rombakan telah dibuat Tan dengan membabitkan dua muka baharu turut menyertai kem latihan skuad kebangsaan kini, Ahmad Haziq Kutty Abba (Terengganu) serta pemain sayap lincah Selangor, A. Selvan.
Menariknya, Richard Chin kembali dipanggil menyertai kem kebangsaan selepas beliau disisihkan pada saingan FIFA Asean Cup 2026 lalu di Indonesia yang mencetuskan persoalan penyokong.
Senarai pemain dikecam penyokong
Walaupun begitu, kecaman tetap hadir dalam kalangan penyokong terhadap skuad kebangsaan, dengan Tan sendiri turut dikritik atas senarai pemain dikeluarkan semalam oleh Malaysia NT.
Ini kerana rombakan yang dibuat oleh Tan dianggap cukup besar dan membawa kepada risiko buat skuad kebangsaan nanti kerana kehilangan ramai tonggak cemerlang ketika di saingan FIFA Asean Cup lalu.
Ketiadaan Manuel Hidalgo, Brad Tapp, dan beberapa lagi antara yang mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat kerana mereka telah memberikan impak yang cemerlang buat skuad kebangsaan.
Malah, ada yang turut mempertikaikan beberapa pemain terpilih kali ini seperti Safawi Rasid yang dianggap tidak berada dalam prestasi terbaik bersama Kuching City kini di posisi serangan.
Di posisi serangan antara yang sangat menggusarkan peminat kerana tidak banyak pilihan pemain bersesuaian untuk mengharungi aksi bertemu China dan Yemen dengan Paulo Josue terus terpilih sekali lagi bersama pasukan kebangsaan.
Timbul persoalan, jika Malaysia sebenarnya tidak memandang serius dua aksi persahabatan Tier 1 akan datang, walaupun ia berpotensi besar untuk menyumbang mata buat negara di kedudukan ranking semasa.
Ambil positif sahaja
Kami di sini menyambut keputusan tersebut dengan positif kerana inilah peluang terbaik untuk kita melihat sekali lagi kewibawaan Tan membawa pasukan berbeza di pentas antarabangsa seperti telah dibuktikan lalu.
Jangan kita lupa, Richard Chin dan Fergus Tierney antara pemain yang cukup menyerlah kini di luar negara dan mungkin ianya peluang terbaik untuk kita melihat mereka cemerlang di pentas antarabangsa pula.
Malah, kita masih mempunyai beberapa bintang utama seperti Dion Cools, Endrick dos Santos, serta Nooa laine yang menjadi tunjang utama kekuatan Harimau Malaya pada aksi-aksi terdahulu.
Selain itu, pemain muda seperti Haziq Aiman (penjaga gol), dan G. Pavithran (sayap) perlu membuktikan mereka sebenarnya sudah pun layak untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan bersama bintang senior lain.
Buat Tan, jadikan kritikan penyokong ini sebagai pendorong buat beliau untuk membuktikan mengapa dirinya layak memegang kerusi ketua kejurulatihan Harimau Malaya selain menyatakan anak tempatan juga masih berbisa dan kreatif di pentas antarabangsa.
Moga, kita memperoleh keputusan positif nanti dalam dua aksi persahabatan akan datang sekali gus memastikan kedudukan ranking juga mampu berubah ke arah lebih baik.






