Mauricio Pochettino secara rasminya kini sudah pun mengendalikan dua perlawanan awal beliau bersama Manchester United, dengan membawa gelaran selaku pengurus baharu kelab berkenaan.
Menggantikan tugas Michael Carrick, jelas ini bukan sesuatu yang mudah buat Pochettino dan beliau masih belum berupaya membawa kemenangan buat kelab berkenaan selepas mengharungi dua aksi di pentas domestik serta kejohanan Eropah.
Seperti aksi terbaharu di saingan UCL, Man United sekadar terikat seri ketika mereka menentang cabaran kelab dari Portugal, Sporting CP menerusi keputusan penuh 2-2 di gelanggang pasukan lawan.
Jika dilihat semula aksi tersebut, tiada sebarang perubahan signifikan dipamerkan oleh The Red Devils di atas padang, dengan Pochettino dijangka masih lagi menilai segala terbaik sebelum ada rombakan lebih besar bakal dibuat.
Walaupun begitu, seri jelas lebih baik berbanding kekalahan, dan ianya merupakan sesuatu diperlukan Man United kini untuk terus bangkit daripada segala kesukaran diharungi mereka kini daripada segi kualiti permainan dan keputusan akhir perlawanan.
Ada sedikit pujian kepada Man United
Selepas teruk dikritik penyokong sejak berminggu-minggu lalu, akhirnya sedikit pujian telah diberikan menerusi media sosial dengan mereka menganggap pasukan berkenaan ada kualiti lebih baik di atas padang untuk bangkit.
Malah, pujian kembali diberikan kepada pemain berpengaruh kelab, Bruno Fernandes yang tajam meledak dua gol ketika bertemu bekas kelab lamanya itu, untuk memastikan Man United tidak meratapi kekalahan terbaharu.
Faktor lain, penyokong lebih banyak menyalahkan keputusan pengadil yang cukup buruk dan langsung tidak memihak kepada The Red Devils sehingga menjejaskan momentum pasukan tersebut di atas padang.
Seusai perlawanan, Pochettino tampak lebih gembira dengan keputusan perlawanan tersebut dan hadir memberikan pujian penuh kepada para pemain yang berjuang untuk memperoleh seri.
“Saya cukup-cukup bangga dengan para pemain, saya suka dengan pasukan ini. Kita dah tunjukkan kepada mereka bagaimana kita mahu bermain selepas satu minggu kita mula cipta kerjasama. Ini adalah ubat yang cukup baik,” ujar Pochettino menerusi perkongsian Fabrizio Romano.
Amaran awal buat Pochettino
Namun, kenyataan tersebut mendapat pelbagai reaksi penyokong, termasuk ada yang mula memberi amaran awal kepada beliau untuk tidak awal memberikan pujian kepada para pemain.
“Sabar Pochettino, jangan kalut sangat nak puji dan julang mereka. Para pemain ini nanti akan memberikan masalah kepada kamu pada masa hadapan,” salah satu petikan komen di media sosial X.
Malah, ada yang turut memberi jaminan selama dua minggu sahaja nanti Pochettino bakal kembali dengan memberi kritikan atau merungut dengan masalah dihadapi beliau bersama para pemain Man United.
Rungutan itu dilihat berasas, kerana kebanyakan pengurus terdahulu pada awalnya bermula dengan cukup baik dan harmoni bersama para pemain, sebelum isu mula timbul apabila keputusan negatif terus berlanjutan.
Tetapi, Pochettino juga tidak boleh dipersalahkan atas pujian beliau kepada para pemain, kerana mereka memang memerlukan sokongan moral lebih baik apabila pasukan tersebut sudah merasai begitu banyak keputusan negatif lalu.
Apapun, tugas Pochettino masih lagi panjang. Beliau perlu memastikan Man United sekurangnya keluar daripada zon penyingkiran di pentas EPL dan cuba meraih kemenangan pertama pada karier musim pertama buat The Red Devils.
Hari ini, beliau bakal berdepan Brentford dan itu merupakan tugas berat buat Pochettino dalam memastikan keputusan positif mampu diraih mereka untuk mendaki semula ke kedudukan lebih selamat.
Tanpa keputusan yang lebih baik, penyokong mungkin akan kembali hilang sabar dan ingin melihat bagaimana reaksi Pochettino kepada para pemain pula.





