Akhinya Arsenal ‘Dengar’ Luahan Peminat
Para penyokong The Gunners pastinya gembira dengan perubahan telah dilakukan kelab tersebut pagi tadi.
Selepas tampil suram dalam dua perlawanan lalu, akhirnya penyokong Arsenal boleh menarik nafas lega dengan keputusan terbaharu dicatat oleh kelab tersebut.
Pada aksi suku akhir UEFA Champions League (UCL) awal pagi tadi, skuad kendalian Mikel Arteta telah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting CP di gelanggang lawan.
Seperti dijangka kelab dari Portugal itu tidak memberi laluan mudah buat Arsenal, dengan aksi sengit berlangsung sehingga ke penghujung permainan, sebelum Kai Havertz berjaya memastikan The Gunners meraih kemenangan.
Rekod cemerlang Arsenal di pentas UCL
Ianya juga menjadikan Arsenal sebagai kelab pertama musim ini yang meraih kemenangan di kubu utama Sporting CP bagi saingan UCL musim 25/26.
Lebih menarik, Arsenal kekal dengan rekod tanpa kekalahan musim ini di pentas UCL untuk menjadikan mereka sebagai kelab tumpuan ramai peminat bola sepak di seluruh dunia.
Arteta jelas menjadikan kelab tersebut bersedia pada saingan musim ini, walaupun beliau kehilangan dua tonggak, termasuk Bukayo Saka pada aksi pagi tadi.
Penyokong gembira Raya kembali
Di media sosial, jelas para penyokong begitu gembira dengan keputusan tersebut, selepas mengambil kira akan dua kekalahan mereka sebelum itu di pentas domestik.
Salah satu pujian besar diberikan, sudah tentu terarah kepada penjaga gol utama Arsenal, David Raya yang begitu cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada tuan rumah.
Pada aksi tersebut juga, Raya telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan kerana memastikan Arsenal tidak terikat seri atau tewas kepada Sporting CP.
Untuk peminat, ini adalah perkara yang paling mereka mahukan untuk melihat kembali Raya dalam kesebelasan utama, selepas kecewa dengan kualiti Kepa Arrizabalaga yang beraksi pada dua perlawanan lalu.
Pada pandangan ramai, Raya dianggap memimpin Arsenal dalam banyak perlawanan sebelum itu untuk memastikan mereka tidak tewas atau mengekalkan kemenangan.
Masih belum selamat
Apapun, kebimbangan peminat buat Arsenal tetap belum padam, kerana aksi ditampilkan pasukan tersebut dianggap belum cukup untuk membuatkan mereka menarik nafas lega.
Jika dilihat kembali pada aksi pagi tadi, Arsenal mampu menguasai permainan dengan sangat baik untuk saling bertukar hantaran antara satu sama lain berbanding lawan.
Cuma perkara yang menggusarkan peminat, isu kreativiti dan ketajaman The Gunners untuk mendapatkan gol masih lagi belum mencukupi walaupun dibarisi pemain berkualiti tinggi.
Kelibat Gyokeres, Madueke, dan Trossard pada awalnya gagal memberikan ancaman lebih besar, sehingga kemasukan pemain seperti Martinelli serta Havertz mengubah struktur serangan menjadi bertambah positif.
Itu mungkin menjadi keutamaan Arteta selepas ini, dengan beliau perlu memikirkan alternatif terbaik dalam mempertajamkan siri serangan Arsenal pada aksi akan datang.
Apapun, Arsenal kini sudah pun selangkah ke pentas separuh akhir UCL, dan berpeluang untuk cuba mendapatkan trofi tersebut dan bergelar raja Eropah musim 2025/2026






