Akademi JDT Perlu Dicontohi Kelab Lain
Sehingga kini, hanya Akademi JDT sahaja terus konsisten bangunkan bakat-bakat muda dengan sistem yang cukup profesional.
Tatkala ramai memfokuskan kepada pasukan senior dan pemain bintang negara, masih ramai yang kurang cakna bagaimana dengan perkembangan anak-anak masa depan Harimau Malaya.
Untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka antara yang peka akan keseimbangan buat pasukan senior dan perkembangan bakat-bakat baharu di pentas akar umbi.
Akademi JDT giat tingkatkan kualiti pemain
Terbaharu, akademi tersebut tampil dengan aksi persahabatan yang membabitkan skuad bawah 16 (B-16), dengan bertindak selaku tuan rumah untuk menjemput kelab-kelab sekitar Asia Tenggara.
Buriram United (Thailand), Bali United (Indonesia), Lion City Sailors (Singapura), Akademi Mokhtar Dahari (Malaysia), terlibat untuk aksi ini bermula 13 hingga 16 Februari.
Motif? Sudah tentu untuk memastikan skuad JDT B-16 ini terus mendapat pendedahan terbaik dengan aksi lebih berkualiti supaya pembangunan para pemain muda dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Pembangunan yang konsisten
Tak dinafikan, pembentukan akademi tersebut berjaya membuahkan hasil selepas pelaburan dibuat oleh Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor (PSJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk mendapatkan kepakaran luar dan penyediaan fasiliti lengkap buat bakat-bakat muda berkenaan.
Sehingga kini, Akademi JDT telah meraih lebih daripada 50 trofi menerusi pelbagai kejuaraan disertai mereka bagi setiap peringkat umur dalam serta luar negara.
Malah, Johor Cubs kini turut diperkenalkan pada tahun lalu dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor sendiri merupakan salah seorang pemain pasukan berkenaan.
Mana pembangunan negeri/kelab lain?
Tercetus soalan bagaimana dengan pembangunan-pembangunan pasukan lain untuk akar umbi para pemain muda mereka kini, selepas melihat apa dilakukan oleh JDT.
Tidak mengharapkan seratus peratus daripada segi penyediaan mereka buat bakat-bakat muda seperti dilakukan oleh JDT, kerana masing-masing mempunyai acuan tersendiri.
Tetapi adakah para pemain tersebut mendapat pendedahan sepatutnya dan mengharungi perkembangan yang baik sehingga mampu melahirkan produk terbaik buat masa depan negara?
Sisi persoalan ini akan terus bermain di fikiran ramai peminat yang umum kita tahu lebih banyak mengharapkan pelapis tempatan negara daripada kecenderungan kita untuk pemain warisan atau naturalisasi seperti kini.
Jika tidak, setiap pengurusan kelab perlu terus berlapang dada dan tidak salah untuk belajar bagaimana awalnya JDT mengurus pasukan akar umbi mereka secara profesional dalam melahirkan platform lebih bersikap kompetitif dalam kalangan bakat muda.
Secara tidak langsung, ‘pool’ pemain-pemain muda bakal bertambah dan ia memberi inisiatif terbaik kepada kejurulatihan kebangsaan untuk terus menilai sebaik mungkin dalam kalangan tersebut untuk dipertaruhkan kepada Harimau Malaya.
Tentunya kita juga tidak mahu tewas kepada negara-negara Asia lain yang juga kian giat membangunkan pemain-pemain muda untuk masa depan bola sepak masing-masing.











