Akademi Bertambah Banyak Di Malaysia, Tapi Mana Hasilnya?
Ramai sangat nak tubuhkan akademi, tapi bab pengurusan dan kejurulatihan masih banyak yang kelaut!
Kenyataan bahawa “pertumbuhan akademi bola sepak perlu dipantau” oleh Ong Kim Swee baru-baru ini membuka satu isu besar yang sudah lama berakar dalam ekosistem bola sepak Malaysia.
Menurut Muhammad Iddin yang merupakan salah seorang jurulatih dari Akademi Perdana United, realitinya sistem ‘grassroots, kita masih terlalu longgar dan kurang kawalan.
Sesiapa sahaja boleh menubuhkan kelab bola sepak tanpa struktur latihan yang jelas, tanpa silibus pembangunan jangka panjang, dan kadang-kadang tanpa kelayakan kejurulatihan yang mencukupi.
Lebih membimbangkan, banyak akademi beroperasi dengan fokus utama kepada kemenangan jangka pendek, bukan pembangunan pemain.
Keputusan perlawanan menjadi ukuran kejayaan, sedangkan proses pembentukan teknikal, mental dan disiplin pemain sering diabaikan.
Dalam keadaan ini, pemain di peringkat akar umbi menjadi mangsa sistem. Mereka dilatih untuk menang hari ini, bukan untuk berkembang hari esok. Akhirnya, potensi jangka panjang mereka terbantut kerana tidak melalui proses pembangunan yang betul dan konsisten.
Kebebasan tanpa struktur ini juga membuka ruang kepada ketidakseimbangan kualiti antara akademi. Ada yang benar-benar fokus kepada development, tetapi ada juga yang sekadar “business academy” tanpa hala tuju jelas.
Jika Malaysia serius mahu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa, ekosistem ini perlu disusun semula. Pendaftaran akademi, standard kejurulatihan, silibus latihan, dan pemantauan berkala perlu diperketatkan.
Jika kita melihat kepada perkembangan semasa, akademi bola sepak di Malaysia semakin bertambah dari segi jumlah. Tetapi persoalannya, adakah peningkatan ini benar-benar melahirkan pemain yang berkualiti?
Kerana pada akhirnya, dalam sistem yang terlalu bebas dan tidak seragam ini, kita masih belum melihat satu perkara yang sepatutnya menjadi ukuran utama, iaitu hasil produk berkualiti secara konsisten.
Jadi di mana sebenarnya silapnya?
Adakah pada sistem latihan, pada struktur akademi, atau pada cara kita mentakrifkan “pembangunan pemain” itu sendiri?
Atau lebih mudah, di mana hasil sebenar pemain berkualiti yang sepatutnya lahir daripada ribuan akademi yang wujud hari ini?





