Hasrat penyokong bola sepak di Kedah untuk melihat kelibat para pemain legenda mereka, akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi sebuah kejohanan bakal diadakan tidak lama sahaja lagi diberi nama, Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993.
Kejohanan ini dilihat sangat unik, apabila ia membabitkan pertemuan semula antara Kedah dan Singapura yang suatu ketika cukup ikonik dan sentiasa menjadi sebutan ramai peminat-peminat otai.
Untuk rekod pertemuan kedua pasukan tersebut pada tahun 1993 lalu di pentas akhir Piala Malaysia, Kedah berjaya muncul selaku juara menerusi keputusan 2-0 hasil ledakan daripadaRadhi Mat Din bersama Lee Kin Hong.
Stadium Merdeka ketika itu menjadi saksi skuad kendalian Robert Alberts yang ketika itu turut dibantu Allahyarham Azraai Khor cemerlang untuk menundukkan cabaran getir daripada Singapura.
Memori lama kembali berulang
Saingan Langkawi Merdeja Cup Nostalgia 1993 ini dilihat sebagai satu aksi yang cukup menarik, kerana kita bakal disajikan semula dengan legenda-legenda bola sepak berkenaan di Stadium LADA, Langkawi pada 29 Ogos 2026 ini.
Menerusi perkongsian Harian Metro, beberapa nama besar Kedah suatu ketika akan kembali di negeri berkenaan selain Robert Alberts sendiri turut mengesahkan dirinya akan menyertai kejohanan tersebut juga.
Daya tarikan utama perlawanan tersebut, tentunya terarah kepada bintang import Kedah suatu ketika; Olubunmi Adigun, Tibor Szaban, serta Peter Nieketien yang turut akan memperkuatkan Kedah kembali untuk hadapi cabaran Singapura di Langkawi.
Nama Adigun sendiri boleh dikatakan masih kekal menjadi sebutan ramai penyokong Kedah, dengan beliau dilabel selaku antara import terbaik dalam sejarah pernah mewarisi pasukan tersebut suatu ketika.
Suatu keterujaan besar buat penyokong
Datuk Zuraidi Rahim selaku pengerusi penganjur mengakui kehadiran Alberts yang merupakan salah seorang bekas pengendali kesayangan Kedah suatu ketika bersama barisan pemain legenda lain berjaya menaikkan rasa teruja penyokong.
“Ramai penyokong membesar dengan menyaksikan aksi mereka. Kehadiran semula legenda-legenda ini bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi penghargaan kepada generasi pemain yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia,”kata beliau.
Pada masa sama, pemain tempatan legenda Kedah lain yang bakal beraksi dalam kejohanan tersebut juga tidak kurang hebat, dengan kelibat Faridzuan Che Hamid, Feriza Ismail, Lim Teong Kim, dan penjaga gol, Azmi Mahmud akan memperkukuhkan barisan utama pasukan tersebut.
Namun, Singapura juga turut hadir dengan ramai pemain legenda mereka yang akan menaikkan lagi rasa teruja para penyokong untuk menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.
Nama besar seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, Abbas Saad dan Alistair Edwards bakal menjadi pertaruhan utama Singapura untuk menghadapi cabaran Kedah tidak beberapa hari sahaja lagi di Langkawi.





