Adakah Kim Pan-gon Mampu ‘Selamatkan’ Selangor?
Kim Pan-gon secara rasminya kini dilantik selaku pengendali baharu Selangor bagi baki saingan musim 2025/2026.
Sebelum itu berlegar di media sosial, tentang kehadiran semula Kim yang sebelum itu pernah memegang tampuk kejurulatihan skuad Harimau Malaya ke Malaysia.
Menurut beberapa laporan di media sosial, pengendali dari Korea Selatan itu dilaporkan bakal menyertai Selangor untuk mengisi kekosongan telah ditinggalkan Katsuhito Kinoshi sebelum itu.
Sehingga semalam, laman rasmi Selangor akhirnya mengesahkan kehadiran pengendali dari Korea Selatan itu untuk mengisi jawatan selaku pengendali utama.
Untuk rekod, jawatan jurulatih sementara Selangor sebelum ini digalas oleh Christophe Gamel, dan sehingga kini masih belum ada perubahan yang signifikan buat pasukan tersebut.
Musim ini sebenarnya prestasi Selangor boleh dikatakan terumbang ambing daripada segi konsistensi, baik di pentas domestik atau kejohanan AFC Champions League Two (ACL 2).
Jika musim lalu mereka tampil begitu menyakinkan pada musim pertama di saingan berkenaan, sebaliknya berlaku kali ini dengan The Red Giants sudah pun sah tersingkir di peringkat kumpulan.
Lebih mengecewakan, mereka gagal mencatat sebarang kemenangan sepanjang mengharungi kejohanan tersebut, dengan aksi ditampilkan menerima kritikan daripada peminat.
Entah mengapa, Selangor seolah gagal menyesuaikan diri dengan cepat dalam permainan pada musim ini, selain menghadapi isu mengenai kualiti pemain-pemain import.
Antara kritikan keras daripada peminat, pastinya terarah kepada kualiti permainan pasukan tersebut yang kurang menyerlah, walau dibarisi ramai pemain tempatan dan import ternama.
Disebabkan itu beberapa perkhabaran menyatakan Selangor mungkin akan mendapatkan jurulatih terbaharu yang berprofil lebih tinggi untuk menerajui kelab berkenaan.
Nama Kim dan beberapa pengendali lain mula dikaitkan bersama The Red Giants sebelum kini pengesahan rasmi sudah dibuat.
Pada masa sama, muncul pula persoalan jika beliau mampu untuk menaikkan kembali momentum semasa Selangor pada baki musim 25/26.
Umum mengetahui, Kim berjaya memacu skuad Harimau Malaya sebelum ini dengan cukup baik, sehingga kita akhirnya kembali merasai kejohanan Piala Asia bawah kendaliannya.
Malah, beberapa perubahan positif lain menyaksikan corak permainan skuad kebangsaan tampil meningkat, dan Kim mampu mencungkil bakat ramai pemain-pemain tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Walaupun begitu, momentum Kim selepas meninggalkan Malaysia tampak tidak begitu baik, apabila beliau tampil sedikit suram di Korea Selatan bersama Ulsan HD termasuk pada kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE).
Sukar untuk kita menilai momentum manakah yang bakal dibawa oleh Kim bersama Selangor selepas ini.
Adakah nilai positif ketika bersama skuad Harimau Malaya?
Atau, detik suram beliau ketika bersama Ulsan HD akan diteruskan bersama Selangor pula?
Apa yang pasti, Kim bakal mencipta kembali kerjasama dengan bekas pemainnya sebelum ini seperti Kalamullah Al Hafiz dan Faisal Halim jika beliau sertai Selangor.
Sudah tentu ramai ingin melihat kembali bagaimana Kim dapat membentuk semula Faisal yang kini semakin pulih daripada segi prestasi semasa di atas padang untuk masa hadapan.
Apapun, kita berharap dengan kehadiran Kim ini, perubahan lebih positif mampu dicatat Selangor dan ada kebangkitan bakal dibuat untuk menjadikan mereka terus relevan selaku salah satu pencabar utama Liga M.
Pandangan anda?







