Adakah Igor Thiago Kini Layak Bergelar Selaku Penyerang Elit EPL?
Selepas kemarau gol dalam beberapa perlawanan lalu, akhirnya Igor Thiago kembali menemui sentuhan pemusnahnya bersama Brentford ketika berdepan cabaran Everton, di pentas EPL.
Musim ini, Thiago sebenarnya membawa tanggungjawab cukup besar selaku penyerang utama Brentford, selepas pasukan tersebut kehilangan khidmat Yoanne Wissa dan Bryan Mbeumo.
Apa tidaknya, kedua penyerang tersebut pada musim lalu hadir dengan reputasi cukup tinggi di pentas domestik, menerusi jumlah jaringan cukup menyakinkan untuk menaikkan reputasi Brentford.
Sedangkan Thiago pada musim lalu terpaksa berehat panjang dan menyaksikan sahaja kedua bekas pemain serangan Brentford tersebut bermain di atas padang, kerana beliau dihimpit isu kecederaan.
Sekembalinya penyerang dari Brazil tersebut musim ini bersama pasukan berkenaan, tidak ramai meletakkan jangkaan tinggi kepada Thiago, selepas mereka melihat Brentford mungkin terjejas daripada segi posisi serangan kerana kehilangan pengaruh Wissa-Mbeumo.
Namun, Thiago menafikan spekulasi tersebut, dengan beliau muncul selaku penjaring kedua terbanyak kini, di pentas EPL dan jauh meninggalkan Antoine Semenyo pada kedudukan ketiga.
Pada aksi terbaharu menentang Everton, Thiago tampil meledak hatrik sulung beliau pada musim ini untuk membanru Brentford meraih kemenangan 4-2 ke atas pasukan lawan dengan aksi cukup menyakinkan.
Untuk Thiago, jaringan tersebut cukup bermakna buat dirinya, selepas beliau kemarau daripada menghasilkan sebarang gol sejak enam perlawanan lalu terakhir diharungi bersama kelab berkenaan.
Secara keseluruhan, pemain berusia 24 tahun ini sudah menyumbang 15 jaringan daripada 20 perlawanan diharungi bersama Brentford, untuk menjadikannya sebaris dengan penyerang elit lain di EPL.
Dengan dibezakan lima gol sahaja berbanding dengan penjaring semasa terbanyak, Erling Haaland, sukar untuk kita nafikan tentang sumbangan besar Thiago musim ini bersama Brentford.
Statistik percubaan beliau juga cukup menarik untuk diperkatakan, selepas 37 sepakan ke arah gol telah dilepaskan beliau pada musim ini dan, 26 daripadanya menuju tepat ke sasaran dan 14 dihasilkan dalam bentuk jaringan.
Dalam sejarah EPL pula, Thiago menjadi pemain Brazil ketujuh dalam rekod yang berjaya menghasilkan jaringan hatrik untuk sebaris dengan beberapa nama besar daripada negara berkenaan.
Apapun, untuk terus bergelar selaku penyerang elit musim ini dengan konsisten, beberapa kelemahan lain perlu diperbaiki Thiago dan tidak hanya bertumpukan kepada sentuhan pemusnah beliau sahaja dalam petak gol.
Antaranya, Thiago perlu meningkatkan sudut kreativiti beliau untuk mendapatkan gol selain memperbaiki ketepatan hantarannya yang sedikit lemah untuk membuka peluang lebih besar dalam mendapatkan jaringan.
Keupayaan beliau meledak hatrik tidak dapat dipertikaikan lagi, namun persaingan masih lagi panjang dan daripada sini kita dapat melihat bagaimana beliau dapat mengekalkan konsistensi selaku peledak utama Brentford, selain mengelak daripada menghadapi isu kemarau semula dalam beberapa aksi mendatang.
Tetapi, kini semua pun perlu mengakui Thiago merupakan antara penyerang terbaik di pentas EPL, dan hanya Haaland dan beliau sahaja sudah mencatat dua digit daripada segi jumlah jaringan musim 2025/2026.
Pandangan anda bagaimana?









