Desas desus di media sosial menyatakan dua kelab gergasi England, Manchester United dan Manchester City mungkin tidak akan beraksi di pentas English Premier League (EPL) pada saingan hadapan.
Persoalannya kenapa?
Untuk Manchester City, ramai mendakwa pasukan tersebut bakal dikenakan hukuman akibat pelbagai kesalahan yang mereka lakukan terdahulu membabitkan peraturan kewangan ditetapkan liga.
Ada menjangkakan kelab tersebut mungkin bakal disingkirkan ke saingan divisyen lebih rendah walaupun rayuan kini masih dibuat oleh pihak pengurusan pasukan berkenaan.
Malah, ada juga menyatakan kelab kendalian Enzo Maresca itu mungkin tidak sempat menamatkan cabaran mereka di pentas EPL pada musim ini kerana mengharungi hukuman lebih awal jika sah disabitkan kesalahan bersama denda dikenakan.
Apa pula kaitan dengan Manchester United?
Ya, ini topik utama yang menarik untuk kita katakan mengenai satu lagi kelab gergasi EPL tersebut. Bukan kerana hukuman atau denda, tetapi reputasi mereka sendiri kini sedang berada dalam fasa cukup teruk.
Man United kalah lagi!
Betul, Man United sekali lagi menjadi pasukan paling konsisten untuk merekodkan kekalahan buat kali ketiga sejak lima perlawanan terakhir diharungi mereka.
Ini juga menjadi kekalahan buat kali ketiga buat pasukan tersebut musim ini dalam saingan EPL dan Man United kini berada di tangga ke-16 daripada 20 pasukan bertanding.
Lebih perit, mereka hanya dibezakan satu mata sahaja untuk mengelak daripada berada bersama kelompok di zon penyingkiran, dan jika mereka terus gagal merekodkan keputusan positif, tak mustahil perkara lebih buruk berlaku.
Tepat, mereka akan berada di zon penyingkiran. Sesuatu yang sangat perit untuk ditelan para penyokong Man United yang pada penghujung musim lalu beranggapan kelab kesayangan mereka sudah bangkit.
Jika awal musim mereka percaya Man United mampu merebut kejuaraan edisi 26/27, percayalah situasi kini menyaksikan ramai berharap supaya The Red Devils tidak tersingkir ke pentas Championship bagi saingan 27/28.
Entah apa masalah mereka
Pada aksi terbaharu berdepan Bournemouth, Michael Carrick membuat perubahan dengan meletakkan Bruno Fernandes di bangku simpanan sebagai strategi baharu untuk bangkit.
Sebelum itu, ramai percaya Bruno merupakan toksik sebenar pasukan dan keberadaan beliau menjadikan Man United kucar kacir daripada segi permainan pada saingan musim ini.
Tetapi, situasi sama tetap berlaku dengan segala percaturan Carrick dilihat caca marba dan pasukan tersebut tetap merekodkan kekalahan yang cukup mengaibkan walau tanpa kelibat Bruno.
Ada juga yang percaya pasukan ini memang sudah sukar untuk diselamatkan. Jika Carrick dibuang pun, masalah yang dihadapi tetap tidak akan selesai untuk memulihkan konsistensi Man United.
Pada akhirnya, ramai hanya mampu berdoa supaya Man United tidak akan mengiringi Man City untuk disingkirkan ke divisyen lebih rendah pada saingan akan datang.
Lebih memburukkan keadaan, mungkin Man United sahaja disingkirkan terlebih dahulu musim hadapan jika prestasi mereka berkekalan kerana proses rayuan dan pengesahan hukuman kepada Man City masih lagi belum diketahui apa akan berlaku pada akhirnya.






