Anda tunggu Man United menang? Malangnya semalam mereka sekali lagi konsisten untuk tidak meraih tiga mata penting apabila pasukan tersebut sekadar seri 1-1 ketika bertemu Leeds di gelanggang lawan.
Entah kenapa, tidak ramai meletakkan jangkaan tinggi jika kita lihat di media sosial sebelum tirai perlawanan bermula kerana ramai menganggap ini bakal menjadi satu lagi lawan sukar untuk Man United meraih tiga mata penting.
Dan ternyata, apa yang dijangkakan para peminat betul-betul berlaku apabila mereka merekodkan keputusan seri buat kali keempat musim ini di pentas Premier League.
Bayangkan, untuk pasukan yang menyasarkan diri selaku juara 26/27 setakat ini hanya mampu memperoleh 7 mata daripada 7 perlawanan diharungi dan kini serang berada pada kedudukan ke-13.
Hanya 2 mata sahaja memisahkan mereka daripada pasukan yang sedang berada di zon penyingkiran seperti Fulham, untuk menggambarkan betapa kritikalnya keadaan semasa Man United.
Michael Carrick jadi sasaran penyokong
Jika musim lalu Carrick dipuja, sebaliknya berlaku kini apabila beliau mula menjadi mangsa amukan penyokong yang menuntut perubahan perlu dibuat daripada segi taktikal permainan.
Malah, ada juga yang turut berharap supaya pengendali itu dipecat secepat mungkin agar perjalanan semasa kelab dapat diperbaiki dan tidak dirosakkan oleh Carrick dengan lebih teruk.
Entah kenapa, pengendali berkenaan gagal mengekalkan momentum positif ditampilkan seperti musim lalu dengan segalanya tampak caca marba sehingga memberi kesan kepada keputusan permainan.
Musim lalu, Carrick berjaya memberi mata-mata penting buat pasukan dan dianggap hero selepas beliau tampil menggantikan Ruben Amorim selaku pengurus interim.
Kejayaan beliau bukan sahaja memastikan keputusan positif diraih pasukan, tetapi turut membawa Man United kembali dalam saingan UEFA Champions League (UCL) pada musim ini, apabila mereka menamatka cabaran EPL 25/26 di tangga ketiga.
Bruno Fernandes turut kena tempias
Ini juga merupakan suatu perkara yang hangat dibincangkan dalam kalangan penyokong, selepas beliau hadir dengan impak cukup besar pada saingan musim lalu bersama Man United.
Sayangnya musim ini, Bruno tampak serba tidak menjadi dengan beliau hanya berjaya menyumbang lima gol sahaja kini dengan kali terakhir dilakukan ketika aksi bertemu Sabah FK pada 11 September lalu.
Selepas itu, prestasi Bruno dilihat terumbang ambing dan beliau kini kemarau dalam menyumbang sebarang gol sebanyak enam perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan diharungi kelab berkenaan.
Impak permainan beliau juga kurang dirasai kini dan ramai peminat menganggap beliau seolah tidak mempunyai hati lagi bersama pasukan berkenaan dan berharap Bruno ‘keluar’ tinggalkan Man United.
Prestasi keseluruhan semua teruk
Tidak boleh menyalahkan Carrick dan Bruno sahaja, secara keseluruhan Man United memang dilihat cukup teruk kini dengan semua pemain, kejurulatihan, dan pengurusan perlu bertanggungjawab.
Dengan barisan pemain yang sedia ada sepatutnya mereka mampu memberikan sesuatu yang lebih baik lagi, apatah lagi Man United hanya kehilangan Casemiro sahaja musim 26/27 selaku tonggak utama.
Pemain seperti Matheus Cunha, Lisandro Martinez, dan beberapa lagi boleh dikatakan berada pada bawah tahap sebenar dan cukup-cukup mengecewakan dalam kalangan penyokong.
Aksi seterusnya, mereka bakal bertemu Como dalam saingan UCL yang boleh dianggap sedang berada pada prestasi terbaik untuk terus memberi ancaman kepada Man United.
Enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan, mungkin ini masanya untuk mereka kembali memulihkan kepercayaan kepada para penyokong setia The Red Devils.







