1 Trofi Buat Selangor ‘Pujuk’ Penyokong
Dah beberapa musim agak sendu, inilah masa untuk Selangor buktikannya!
Kali terakhir Selangor berjaya mendakap trofi kejuaraan berprestij pada tahun 2015 lalu di pentas Piala Malaysia ketika mereka menewaskan Kedah di Stadium Shah Alam.
Selepas itu, pasukan tersebut sepi tanpa sebarang kejuaraan, walaupun beberapa kali melangkah ke pentas akhir dalam kejohanan peringkat domestik.
Musim lalu, Selangor berjaya menambah trofi baharu dalam kabinet mereka, MFL Challenge Cup selepas pasukan itu menewaskan PDRM pada aksi final musim 2024/2025.
Namun, kejohanan itu menjadi skeptikal dalam kalangan peminat kerana ia merupakan trofi bertaraf rendah yang hanya dibarisi oleh pasukan-pasukan biasa jika dibandingkan Selangor dengan membawa bajet lebih tinggi.
Kritikan dan sindiran
Selama beberapa musim ini, Selangor tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan penyokong sendiri yang gagal untuk membawa sebarang kejuaraan selain MFL Challenge Cup musim lalu.
Kritikan itu timbul kerana The Red Giants antara pasukan elit yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang dalam kalangan tempatan serta import selain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Malah, pelbagai sindiran juga muncul kerana Selangor antara kelab yang tidak mempunyai sebarang isu kewangan, tetapi sering menghadapi isu konsistensi dalam permainan.
Akibatnya, mereka gagal untuk memberi persaingan lebih baik dalam aksi Liga Super, kadangkala terkandas awal di pentas kejuaraan domestik lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia.
Dengan pelbagai rombakan dan perubahan yang dibuat saban musim dalam kalangan kejurulatihan dan pemain, persoalan timbul dalam kalangan peminat:
“Bila Selangor nak menunjukkan hasil yang lebih positif dengan sekurangnya membawa satu kejuaraan untuk dibanggakan?”
Peluang terbaik musim 25/26
Jika saingan domestik musim ini segala harapan yang diletakkan telah musnah, maka pentas ACC Shopee Cup menjadi peluang terbaik buat The Red Giants untuk cuba membanggakan penyokong.
Setakat ini, Selangor momentum positif mereka di pentas separuh akhir pertama selepas pasukan tersebut menewaskan wakil kelab dari Vietnam, Nam Dinh semalam menerusi keputusan 2-1.
Sekiranya keputusan tersebut mampu dipertahankan aksi kedua nanti di gelanggang lawan, maka Selangor akan melangkah ke pentas akhir buat julung kalinya dalam kejohanan tersebut.
Walaupun prestij kejohanan ini jauh lebih rendah jika dibandingkan kejuaraan AFC Champions League, sekurangnya itu dapat mengubati kekecewaan besar peminat jika trofi mampu diraih.
Apa yang peminat kecewa musim ini?
Penyokong Selangor pastinya paling terkesan kerana Selangor setakat ini semakin pudar daripada segi peluang untuk mendapatkan tiket slot ke pentas ACL 2 musim hadapan.
Ini kerana, Kuching City tampil lebih terbuka untuk meraih slot tersebut jika kita lihat daripada segi kutipan mata dan peluang pada baki perlawanan akan datang.
Malah, Selangor sendiri gagal ke pentas akhir Piala FA atau Piala Malaysia musim ini, selain tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan awal Piala Sumbangsih.
Selain itu, The Red Giants turut terkandas awal di pentas ACL 2 musim ini, selepas prestasi cukup mengecewakan ditampilkan oleh pasukan berkenaan pada peringkat kumpulan.
Jika skuad kendalian Kim Pan-gon mampu meraih trofi ACC Shopee Cup musim ini, sekurangnya bukan sahaja kekecewaan tersebut mampu diubati, malah ia mampu menaikkan motivasi kelab untuk lebih baik pada persaingan hadapan.
Kredit foto: Shah Amirul untuk Semuanya BOLA





