Pengendali PJ City, P. Maniam yakin boleh menang ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di pusingan awal Piala Malaysia kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil biarpun berhadapan dengan pasukan terkuat.
Tambahnya, jika bertemu pasukan JDT, para pemain perlu memberi komitmen tambahan di atas padang dan mempamerkan gaya permainan yang berbeza selain menunjukkan motivasi yang tinggi untuk mencapai kemenangan.
“Kalau mereka menunjukkan satu corak permainan yang berbeza, saya begitu yakin kita akan menang perlawanan dengan JDT tapi kita ada lima, enam hari untuk kita buat persediaan sebelum menghadapi pasukan JDT dan kita akan lawan mereka,” ujarnya.
Pengendali berusia 54 tahun ini juga menyatakan slot ke Piala AFC masih lagi terbuka untuk kesemua pasukan termasuk pasukan kendaliannya.
Beliau tahu JDT sebuah pasukan yang kuat dan telah memenangi beberapa piala termasuk paling baharu Liga Super namun mereka akan melakukan sebaik mungkin untuk memberi tentangan dan tidak akan beri laluan mudah.
Dengan masa yang ada sebelum sepak mula Piala Malaysia, Maniam akan melihat beberapa pemain sama ada mereka sudah cergas sepenuhnya atau tidak untuk diturunkan dalam perlawanan penting itu.
Antara pemain berada dalam pemantauan adalah ketua pasukan mereka, K. Gurusamy, Syahmi Zamri, R. Barathkumar dan beberapa pemain lagi.
Kehadiran mereka dalam pasukan sangat ditagih untuk memberi impak positif selain membantu pasukan mencapai kemenangan.
Dalam perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City, Maniam berasa bangga dengan pemainnya terutama Darren Lok dan Mahali Jasuli kerana telah mempamerkan kualiti permainan yang begitu baik dalam perlawanan ini dan sepanjang musim bersama PJ City.
Ketika mengulas berkenaan saingan Liga Super, beliau turut berpuas hati dengan peningkatan yang dilakukan oleh PJ City jika dibandingkan tahun lepas.
PJ City menyasarkan untuk menamatkan saingn di tangga kelapan liga namun Sri Pahang menang dalam perlawanan terakhir menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan ini.
Biar pun berada di kedudukan kesembilan liga, namun dari segi pungutan mata, tahun ini lebih baik kerana tahun lepas mereka hanya kumpul 24 mata walaupun berada ditangga ketujuh liga.
PJ City satu-satunya pasukan di Liga Super yang menggunakan kesemua pemain tempatan dan tiada pemain import dalam pasukan mereka.
Dapat menamatkan kedudukan di atas pasukan yang ada pemain import, ia juga adalah kejayaan buat pasukan ini kerana bukan mudah untuk bersaing dengan pasukan yang dipenuhi pemain import.