Kemenangan 3-1 bertemu Kelantan pada 29 Oktober lalu tidak meletakkan PJ City berasa terlalu selesa sebaliknya waspada dengan kebangkitan semula lawan yang pasti tampil lebih bersemangat apabila beraksi di laman sendiri.
Ujar ketua jurulatih PJ City, P. Maniam, beliau sememangnya arif dengan kelebihan dimiliki Kelantan tiap kali bermain di Stadium Sultan Muhammed ke-IV di samping kehadiran semula penyokong yang sentiasa menjadi pemain ke-12 pasukan.
Faktor terbabit menjadikan Maniam mahu semua pemain sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia dari segi mental serta fizikal dalam mengharungi 90 minit yang pasti sukar di Kota Bharu.
“Apa yang saya perhatikan pada perlawanan tempoh hari, Kelantan mempunyai sebuah skuad yang baik dan kebanyakan pemain mereka ada teknik tersendiri.”
“Malah mereka sering kali mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan saya rasa mereka akan tampil dengan lebih baik apabila beraksi di tempat sendiri.”
“Sudah pasti, kehadiran penyokong tuan rumah buat pertama kali pasti akan beri motivasi buat Kelantan bermain baik dan saya harap pemain sentiasa fokus dalam setiap situasi.”
“Jadi pemain-pemain kena tahu bermain secara bertahan apabila beraksi di sana dan jangan fikir tahu hendak menyerang sahaja, sudah tentu strategi kena berlainan semasa kami beraksi di tempat sendiri.”
“Tiga mata di Kota Bharu cukup penting kerana boleh meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih selesa dalam mencari tempat ke suku akhir,” katanya.
Tiga mata sulung ke atas Kelantan tempoh hari meletakkan mereka kini berada di tempat kedua Kumpulan D dengan 4 mata, 5 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun, PJ City sedang dicabar hebat oleh Sabah yang telah memungut 2 mata selain Kelantan yang masih berpeluang ke suku akhir biarpun setakat ini sekadar meraih 1 mata dari 3 perlawanan.
Sementara itu, Maniam mengakui beliau sudah ada perancangan sekiranya Kelantan bakal membawa turun penyerang utama pasukan, Nurshamil Abdul Ghani.
Dia yang merupakan penjaring tempatan terbanyak Liga Premier musim ini telah diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini ekoran kecederaan hamstring semasa aksi sulung bertemu JDT.
Beliau sememangnya begitu mengenali kemampuan Nurshamil kerana pernah berada di bawah kendaliannya semasa di Selangor pada musim 2017.
“Saya amat ketahui segala kekuatan serta kelemahan dia kerana pernah membimbingnya di Selangor, pada masa itu saya merupakan penolong ketua jurulatih.”
“Dia seorang penyerang yang bagus dan jika kita beri dia ruang dan masa dalam jarak 18 ela, dia boleh menghasilkan jaringan kepada pasukan.”
“Jadi, barisan pertahanan perlu beri tumpuan terhadap Nurshamil jika dia diturunkan oleh Kelantan dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Kredit: MFL