Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya kini menghadapi situasi sukar selepas menjulang FIFA Club World Cup baru-baru ini.
Hal ini dapat dilihat selepas pemain tengah The Reds, Alex Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan yang agak serius ketika perlawanan akhir menentang Flamengo.
Kecederaan itu menyebabkan bekas pemain Arsenal itu perlu ditukarkan serta merta oleh Adam Lallana.
Menurut Klopp yang bercakap kepada media, pemain itu berkata yang dirinya berada dalam keadaan baik tetapi pengurus itu tetap waspada dengan keadaannya.
“Beliau berkata dirinya baik, tetapi kita akan lihat. Ianya tidak sempurna, jauh dari sempurna.”
“Kita akan lihat sama ada ianya adalah regangan pada ligamen atau retak, mahupun sebahagian sahaja retak, kita tunggu dan lihat saja.”
Klopp menganggap situasi ini sebahagian daripada “bayangan besar” dalam sukan bola sepak.
“Ianya merupakan satu bayangan besar, tetapi itu adalah lumrah dalam sukan yang melibatkan sentuhan seperti bola sepak.”
Liverpool sudah kehilangan Fabinho yang perlu berehat panjang selain Gini Wijnaldum yang belum cergas sepenuhnya.