Ostersunds FK, Daripada Tak Diperdulikan Dan Ditertawa Kepada Kebanggaan Orang Ostersunds

Semalam Arsenal telah diundi menentang kelab dari Sweden, FK Ostersunds dalam perlawanan kalah mati 32 pasukan terakhir.

Arsenal menjadi juara kumpulan dengan 4 kemenangan daripada 6 perlawanan akan terbang ke Sweden pada 15 Februari 2018 dan melayan kunjungan Ostersunds pada 22 Februari di Emirates.

Sudah pastinya Arsenal pasukan pilihan untuk perlawanan ini. Ianya adalah perlawanan yang diibaratkan David vs Goliath oleh pengulas bola sepak antarabangsa.

Namun begitu, kita berkenalan serba sedikit dengan kelab yang asing bagi kita ini. Kami yakin ramai yang baru tahu akan kewujudan kelab ini walaupun mereka sudah beraksi dialam peringkat kumpulan UEL.

Since 1996

Kami yakin ramai pembaca kami lebih tua usia mereka daripada kelab ini. Kelab ini baru menyambut hari jadi mereka ke-21 pada 31 Okobter 2017 yang lalu selepas ianya ditubuhkan pada 1996 di Ostersunds, Sweden.

Mereka memiliki stadium, Jampkraft Arena yang berkapasiti 8,466 . Kehadiran Arsenal ke stadium mereka seperti satu mimpi. Seluruh dunia kini akan melihat ‘rumah’ kecil mereka dan sudah pastinya ia akan memberikan publisiti yang besar.

https://twitter.com/futbolarena/status/876787302294577152

Buat masa ini, Ostersunds sedang sibuk menguruskan aktiviti untuk hari perlawanan pada Februari nanti. Pasukan ini menggunakan warna jersi hitam dan merah.

Mereka sebelum ini beraksi di divisyen 4 Sweden dan menjadi kelab yang sangat progresif dan digeruni ketika bermain di divisyen ke-4 dan ke-3.

Pada 2013, mereka berjaya memenangi promosi ke divisyen 2 Sweden. Dan pada 2016, mereka berjaya mara ke liga utama Sweden iaitu Allsvenskan.

Kelab ini memenangi piala domestik pertama mereka pada 2016/17 dengan menewaskan IFK Norrkoping 4-1 dalam final Svenska Cupen.

Ini yang membolehkan mereka mara ke pusingan kelayakan Liga Europa meskipun menamatkan saingan liga di tangga ke-5 dalam musim sulung mereka di Allsvenskan.

Menewaskan Galatasaray

Ketika di pusingan kelayakan, mereka mengejutkan gergasi Turki, Galatasaray. Tak siapa menyangka mereka akan melakuakannya. Galatasaray kelab yang jauh lebih besar daripada mereka dan awalnya dijangka tiada masalah berhadapan dengan kelab tak ternama ini.

Mereka menang 2-0 di tempat sendiri dan berjaya mengikat Galatasaray 1-1 di Istanbul. Untuk pengetahuan semua pembaca, Galatasaray kini sedang mendahului liga Turki ketika artikel ini ditulis, di hadapan Istanbul Basakshehir, Fenerbahce dan Besiktas.

Pengerusi kelab mereka, Daniel Kinberg terkejut dan seperti tak percaya. Kelab yang bertarung dengan penyingkiran pada 2010 di divisyen 3, kini berjaya menyertai 500 nama kelab elit yang pernah beraksi dalam kejohanan Eropah.

“Saya tergamam. Saya melihat penyokong-penyokong Galatasaray telah memberikan tepukan kepada kami. Sepanjang perlawanan mereka melayan kami dengan teruk, memaki hamun kami. Ia adalah perang saraf yang sangat kuat dan mencabar mental kami semua.”

“Kami tidak pernah merasai suasana seperti itu.”

Sudah pastinya ia pengalaman baru dan indah bila mereka kenang. Siapa tidak kenal dengan layanan penyokong Turki yang sangat mencabar mental pihak lawan mereka.

“Saya bertanya kepada staf saya, apa semua ni? Staf mereka memberitahu saya, penyokong Galatasaray tidak pernah sesekali memberikan tepukan kepada lawan mereka. Selalunya mereka akan memberikan layanan ‘istimewa’.”

“Tetapi hari itu, kami telah diberikan tepukan gemuruh kerana kejayaan kami yang baru berusia 21 tahun menewaskan kelab yang sudah berusia l12 tahun, mereka ditubuhkan pada 1905.”

“Pemain kami luar biasa. Mereka adalah singa yang berani. Itu antara detik paling membanggakan dalam sejarah kelab kami.”

Europa

Mereka mencipta sejarah apabila menjadi pasukan Sweden pertama yang menang dalam 2 perlawanan pertama dalam peringkat kumpulan kejohanan anjuran UEFA tanpa melepaskan sebearang bolos.

Mereka berjaya mengikat Athletic Bilbao 1-1 dalam perlawanan ke-3. Selepas itu mereka memberikan persaingan yang sangat kuat kepada Bilbao.

Mereka mengutip mata yang sama dengan Bilbao dan hanya dipisah dengan perbezaan jaringan.

Daniel Kinberg pernah ditertawakan oleh ramai pihak termasuk rakan-rakan beliau ketika menubuhkan kelab ini, beliau mengumumkan pelan dan cita-cita kelab untuk mara ke kejohanan seperti UEL (dahulu disebut UEFA Cup) pada suatu hari nanti.

Namun, lihatlah di mana mereka sekarang? Mereka akan terbang ke Emirates berhadapan dengan pasukan elit bernama Arsenal. Tiada yang mustahil dalam dunia ini.

Suntikan Inggeris

Kelab ini melantik Graham Potter sebagai pengurus mereka pada 2011. Beliau merupakan bekas pemain kebangsaan England B-21. Beliau pernah bermain untuk Birmingham City, West Brom, Stoke City, York dan Southampton.

Beliau baru sahaja berusia 42 tahun. Daniel Kinberg menceritakan yang beliau memang mahu mencari pengurus baru dari England. Namun sangat sukar untuk mendapatkan khidmat mereka.

Kinberg menghubungi rakan baik beliau, Graeme Jones yang merupakan bekas pembantu Roberto Martinez di Swansea, Wigan, Everton dan kini di Belgium.

“Jones memberitahu yang saya telah menghubungi orang yang salah.”

Kinberg kemudian mencari pengurus yang baru menceburi dunia pengurusan dan akhirnya nama Graham Potter pun naik dalam senarai.

Mereka mendapatkan pemain Inggeris seperti Jamie Hopcutt, Curtis Edwards dan Andrew Mills.

Graham Potter memberitahu BBC kisah beliau menyertai Ostersunds.

“Saya membuat keputusan bersara daripada bola sepak selepas tahu saya tak akan pergi jauh dalam sukan itu. Saya tahu yang saya tak akan dapat panggilan daripada Barcelona ataupun Mancehester United dalam hidup saya.”

“Jadi, saya memutuskan untuk mendapatkan lencana jurulatih dan itu pilihan lebih baik. Saya juga menjadi pensyarah subjek bola sepak di University of Hull. 5 tahun pengalaman di sana, banyak yang saya belajar, sambil mengajar dan melatih.”

“Saya tak perlu memikirkan kerja di England kerana saya tahu mereka tak akan pandang saya. Jadi, saya tak berfikir panjang ketika mendapat tawaran di Ostersunds.”

“Saya suka cara Presiden kelab ketika beliau bercakap tentang falsafah bola sepak. Saya setuju dan terbang ke Sweden pada Disember 2010.”

“Pada 2011, semua keluarga saya mengikut saya ke sini. Bukan mudah untuk mereka. Isteri saya ada perniagaan di England yang sudah berusia 10 tahun dan kami baru dikurniakan anak sulung.”

“Isteri saya tahu, kami akan berada di Sweden dan saya bekerja di sebuah kelab kecil. Ia tak seindah berpindah ke Monte Carlo ataupun kelab-kelab besar lain. Kelab itu adalah kelab divisyen ke-4 di Sweden.”

“Isteri saya pernah menghantar anak saya ke pengasuh di sini, dan wanita itu bertanya. ‘Apa anda buat di sini’ Isteri saya menjawab, ‘suami saya dapat kerja di sini’.”

“Pengasuh tu tanya lagi, ‘Wah baguslah, kerja apa?’ Isteri saya jawab ‘jadi jurulatih bola sepak’. Wanita itu bertanya lagi, ‘kelab mana? Ostersunds ke? Kalau saya jadi awak, saya minta pulang semula ke England’.”

“Pada bulan Januari atau Februari, suhu di sini mencecah negatif 25. Banyak anda kena buat untuk mengenali orang di sini.”

“Namun satu perkara yang bagus ketika itu, orang di sini tak kisah sangat pasal kelab ini. Kelab ini baru tersingkir dan ramai yang tidak menyokong kelab ini ketika itu. Saya jujur bercakap kepada anda. Jadi saya tiada tekanan untuk bekerja.”

Kini kelab ini telah menjadi kebanggaan warga Ostersunds dan stadium mereka sentiasa penuh dengan penyokong terutama sekali ketika perlawanan Europa.

Mereka sudah menerima lawatan pasukan seperti Bilbao dan Galatasaray. Mereka juga sudah terbang ke stadium hebat di Sepanyol dan Istanbul.

Sesterusnya adalah Arsenal. Walaupun ia tugas sukar, kelab ini tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Mereka sudah jauh mengorak langkah dalam masa 21 tahun.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN