Bekas pemain tengah Chelsea, Oscar mendedahkan beberapa faktor yang membuatkan Kevin De Bruyne dan Mohamed Salah gagal untuk menyerlah ketika menyarung jersi kelab London tersebut sekali gus tidak berjaya memenangi hati pengendali pasukan pada ketika itu, Jose Mourinho.
Ketiga-tiga pemain tersebut pernah bersama-sama membawa cabaran Chelsea pada musim 2013/14 tetapi hanya Oscar berjaya memberikan sumbangan berkesan buat Chelsea manakala De Bruyne dijual ke VFL Wolfsburg dan Salah pula dipinjamkan selama dua musim sebelum berhijrah ke AS Roma.
Langkah meninggalkan Chelsea mungkin satu keputusan yang bijak kerana De Bruyne menjelmakan peningkatan luar biasa sehingga menjadi nadi kepada kekuatan Manchester City dan kehebatan Salah memang tidak perlu diperkatakan lagi sejak beliau menyertai Liverpool pada musim 2017/18.
Mungkin ramai mengatakan kerugian besar buat Chelsea kerana melepaskan kedua-dua pemain tersebut tetapi Oscar melihat terdapat perkara yang menyebabkan mereka tidak mendapat tempat di hati Mourinho.
”De Bruyne memberikan bantuan jaringan buat saya. Terdapat formasi di mana [Eden] Hazard, De Bruyne dan saya diletakkan di jentera tengah dan ia memang berfungsi dengan baik.”
”Dia hanya diberikan beberapa peluang [untuk beraksi], bermain dengan baik tetapi kemudiannya mengalami kecederaan,” ujar Oscar menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Saya merasakan tidak konsisten di kelab yang mempunyai banyak pilihan di posisi tengah dan membawa maksud dia [De Bruyne] tidak begitu sesuai pada ketika itu.”
”Bagi Salah pula, keadaannya berbeza. Dia begitu hebat ketika sesi latihan tetapi terlalu malu dan begitu senyap ketika di luar padang.”
”Sewaktu beraksi saya melihat dia tidak mempunyai keyakinan seperti apa yang telah ditunjukkannya ketika bersama pasukan lain selepas Chelsea, terutamanya pada ketika ini bersama Liverpool,” tambah Oscar lagi.
Oscar yang telah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris 2014/15 dan 2016/17 serta Liga Europa 2012/13 itu meninggalkan Chelsea pada musim 2016/17 untuk berkelana ke China bagi menyertai Shanghai SIPG.
Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Kevin De Bruyne dan Mohamed Salah:
5 Sebab Mohamed Salah Tidak Patut Rasa Bersalah Tinggalkan Liverpool
Ini Perkara Sebabkan Klopp Tidak Berikan Lilitan Kapten Kepada Salah