Akhirnya nada gembira terhasil dari pengendali Sarawak United, B. Satiananthan selepas pasukannya berjaya meraih kemenangan pertama selepas enam perlawanan Liga Super apabila menewaskan Petaling Jaya (PJ) City 3-1.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) itu, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-20 hasil tandukan pemain import Boris Kok yang menerima hantaran Khairul Anuar Zamri.
Sarawak United kemudian menggandakan kelebihannya pada awal babak kedua menerusi seorang lagi pemain import Francis Kone sebelum pemain gantian PJ City R. Kogileswaran merapatkan kedudukan pada minit ke-74.
Namun gol kedua peribadi Francis Kone pada minit ke-74 selepas menyempurnakan sepakan penalti memuktamadkan kemenangan Sarawak yang berjaya mendapatkan tiga mata pertama mereka pada musim ini.
Satiananthan yang ditemui selepas perlawanan jelas gembira dengan kemenangan pasukannya dan memberi kredit kepada pemain yang beraksi bermati-matian walaupun tanpa beberapa pemain utama dan sedikit sebanyak memberikan kelegaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pemain-pemain, mereka bersungguh-sungguh walaupun kita tiada pemain-pemain kesebelasan utama yang biasa dan juga dengan pemain-pemain yang baru lepas [sembuh] Covid macam Boris dan sebagainya,” ujarnya.
“Dan hari ini kita dah nampak ada semangat luar biasa. Bukan senang nak kalahkan PJ City dengan 3-1, jadi saya harap ini permulaan. Dengan padang cantik sebegini, kita boleh main bola, kadang-kadang di padang kita pun memang susah. Saya harap ini memberi semangat yang baharu kepada pemain-pemain kami.”
Dalam pada itu, Satiananthan dalam sidang media selepas perlawanan turut menegaskan bahawa faktor padang tempat sendiri yang teruk di Stadium Sarawak, Kuching di mana mereka telah beraksi empat perlawanan sebelum ini adalah faktor mengapa pasukannya gagal menghasilkan keputusan yang baik.
“Secara kesuluruhan, kita tahu yang PJ City akan bermain dengan percubaan dan hantaran yang baik. Cuma satu yang saya nampak hari ini kita boleh menghantar bola dengan baik, kerana keadaan padang itu cantik,” tambahnya.
“Dekat sana [Stadium Sarawak] memang susah, empat perlawanan di sana. Padang itu kalau tak hujan keras, kalau hujan lembut pula. Saya selalu katakan padang itu penting. Kalau nak naikkan keyakinan pemain, padang mainkan peranan penting.
“Kadang-kadang orang cakap Satia ni banyak alasan, tapi ini realiti. Tapi bila TMJ yang cakap, semua dengar, Satia cakap orang kata itu alasan, tak apalah.”