Orang Besi atau Dickson Nwakaeme dipercayai sudah berada di Malaysia.
Berdasarkan status terkini yang dimuat naik oleh pemain itu, Nwakaeme dipercayai sudah berada di Kuala Lumpur.
Pemain dari Nigeria itu dipercayai kembali daripada bercuti bersama keluarganya, dan tiba di Malaysia untuk melakukan persiapan menjelang musim baharu Liga Malaysia 2020.
Walaupun status beliau masih menjadi tanda tanya peminat, Nwakaeme dijangka akan terus bersama pasukan Pahang untuk musim baru akan datang.
Sebelum ini Pahang FA mengumumkan tidak menyambung kontrak tiga pemain import yang lain, iaitu Safuwan Baharudin, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi.
Tatkala Herold Goulon sudah mengesahkan diri untuk kekal bersama skuad Tok Gajah, tiada sebarang status rasmi mengenai Nwakaeme daripada pihak pengurusan Pahang setakat ini.
Bagaimanapun melalui satu respon kepada peminat di paparan Instagram baru-baru ini, Nwakaeme membayangkan akan kembali menyertai Pahang, walaupun akan beraksi secara percuma.
Komen daripada @_a.m.a.n__ itu mendapat perhatian daripada Nwakaeme.
“@_a.m.a.n__, ini [kenyataan] amat menyentuh hati. Saya akan kembali beraksi secara percuma kerana anda.
“Hogoh Pahang Hogoh,” balas Nwakaeme.
Hubungan baik diantara Dickson Nwakaeme dan Pahang sememangnya tidak boleh disangkal.
Malah Nwakaeme dalam satu sesi video selepas berakhir saingan Piala Malaysia pada musim lalu turut pernah membayangkan akan bersama Pahang sekiranya masih diperlukan oleh Ketua Jurulatih, Dollah Salleh.
Tatkala latihan pra musim semakin rancak, kami yakin masa depan Nwakaeme akan diketahui tidak lama lagi.