Ong Kim Swee Umum 26 Pemain Skuad Malaysia B23 Ke Korea Selatan

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah memilih 26 pemain ke kem latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan (17-30 Disember 2017) bagi persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.

Pengumuman itu dibuat melalui laman facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini sebelum skuad negara berangkat ke Korea Selatan pada hari Ahad ini.

Berikut senarai 26 pemain dipilih ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk ke kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan.

Senarai 26 pemain skuad Malaysia B23 ke kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan

Berdasarkan senarai ini, tiga pemain telah digugurkan daripada senarai awal 29 pemain yang menjalani latihan pusat tempatan selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 27 November lalu iaitu penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II dan Sean Eugene Selvaraj dari Selangor serta Danial Ashraf Abdullah dari Kelantan yang mengalami kecederaan.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan. Namun saya terpaksa membuat keputusan untuk menggugurkan Amierul Hakimi dan Sean Eugene bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke Korea Selatan,” kata Kim Swee.

Kim Swee turut mengumumkan pengguguran penyerang Kedah, Syafiq Ahmad daripada senarai 30 pemain yang dipanggil atas faktor kesuntukan masa memandangkan pemain berkenaan hanya dapat melapor diri lewat kerana melangsungkan perkahwinan.

INFOGRAFIK : Datuk Ong Kim Swee telah memilih 30 pemain awal yang bakal membawa cabaran negara di kejohanan AFC Bawah 23 Tahun pada januari depan.

Skuad 26 pemain ke Mokpo itu akan berlepas pada awal pagi Ahad ini (17 Disember) bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.

Kemudian, Kim Swee bakal menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai akhir skuad 23 pemain ke Kejuaraan B-23 AFC 2018 apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Jika skuad B-23 kebangsaan berjaya muncul dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari 2018.

Leave a Reply