Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dilaporkan telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tersebut dan dirinya tidak lagi menyambung kontrak baharu yang tamat pada November 2024.
Malah, aksi Piala Malaysia bertemu PT Athletic menjadi tugas terakhir beliau sebelum pengendali berpengalaman itu meninggalkan Sabah.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.
“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), YB Datuk Ir Shahelmey Yahya dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas kepercayaan dan sokongan penuh sepanjang saya berada di sini.
“Kepada para pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan. Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa.
“Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya. Kepada pegawai sokongan, penghargaan yang tinggi saya berikan atas usaha tanpa henti dan komitmen anda di belakang tabir.
“Kepakaran dan semangat anda adalah tunjang kepada segala pencapaian kita selama ini. Akhir sekali, kepada penyokong, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang mendalam. Anda adalah nadi kelab ini.
“Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.
“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan. Terima kasih atas segalanya,” ujar beliau.
Thank you Sabah, it has been a good 3 years. 🔵🔴⚪#RaduTatapRadu 🙏🙏🙏 pic.twitter.com/p5wMytaMsQ
— OKS (@OKS_Rhinos) November 21, 2024
Menerusi khabar angin di media sosial, ada yang menyatakan Kim Swee berkemungkunan akan menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali pada masa hadapan.
Malah, ada turut menyatakan beliau akan kembali diberi peranan selaku salah seorang kejurulatihan buat skuad Harimau Malaya.
Pandangan anda?