Quantcast

KAJIAN & FAKTA TEMURAMAH

Ong Kim Swee: Tiada Yang Mustahil, GBK Sama Seperti Stadium Lawan Yang Lain

Bercakap kepada Semuanya BOLA ketika dihubungi, pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee menyatakan keputusan yang diraih oleh skuad kebangsaan menentang Indonesia pada malam ini adalah penting untuk melonjak impak kepada perlawanan seterusnya yang bakal dilalui selepas ini.

Malaysia bukan sahaja bakal berdepan dengan musuh serumpuan, Indonesia di halaman mereka, Stadium Gelora Bung Karno malah perlawanan pada malam ini juga adalah pembuka tirai bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketika banyak pihak merasakan keputusan seri sudah cukup adil buat kedua-dua pasukan, Kim Swee menegaskan keputusan positif akan lebih membantu perjalanan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Impak untuk perjalanan seterusnya

Menurutnya, apa jua keputusan yang diraih akan memberi impak kepada perjalanan kedua-dua pasukan selepas ini. Tambah Kim Swee lagi, perlawanan pada malam ini juga ada keunikannya.

“Keunikan perlawanan pada malam ini adalah ianya lebih dari segi kekuatan mental selain percaturan taktikal kedua-dua pasukan.

Gambar: Football Tribe

“Saya percaya setiap pasukan yang beraksi tidak mahu keputusan seri namun apa yang berlaku selepas perlawanan pertama ini bukan bermakna kita akan kehilangan tempat untuk ke pusingan seterusnya tetapi pasti akan memberi banyak kesan yang berlainan.

“Dan apabila kita bertandang ke tempat lawan sudah tentu segala keputusan positif akan memberi satu kelebihan untuk kita bagi meneruskan perjuangan dalam perlawanan-perlawanan akan datang di peringkat kumpulan,” jelas Kim Swee ketika ditanya adakah keputusan seri sudah cukup buat skuad kebangsaan.

GBK juga sama seperti stadium lawan lain

Ketika ditanya adakah Gelora Bung Karno merupakan stadium yang sukar buat skuad Harimau Malaya, pengendali berusia 48 tahun itu menyatakan mana-mana stadium akan memberi kelebihan buat tuan rumah, bukan sahaja di Gelora Bung Karno semata-mata.

“Setiap stadium akan memberi kelebihan buat tuan rumah tetapi tidak bermakna ianya sesuatu yang mustahil. Para pemain kita mempunyai mental yang lebih matang sekarang, lebih-lebih lagi untuk bertemu Indonesia,” ujarnya kepada Semuanya BOLA.

Begitupun, pengendali yang pernah membawa skuad muda negara meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di stadium yang sama serta menentang lawan yang sama itu mahukan para pemain untuk kekal fokus dengan misi dan perancangan Tan Cheng Hoe.

BOLAEMAS_sukan sea 2011 malaysia

Malaysia’s goal-keeper Che Mat Khairul Fahmi (2L) and his team celebrate after winning the gold medal by defeating Indonesia on penalties during the 26th Southeast Asian Games (SEAGAMES) in Jakarta on November 21, 2011. Malaysia beat Indonesia 5-4. AFP PHOTO / HOANG DINH Nam

“Peluang yang sama rata. Seperti yang saya katakan, kalau pemain kekal fokus dan menunjukkan mentaliti yang cukup positif dengan motivasi yang cukup tinggi, kita mampu untuk mendapatkan keputusan yang positif,” tegasnya yang pernah mengecewakan puluhan ribu penyokong Garuda Muda pada November 2011.

Terima tekanan, jangan marah

Dalam saingan Sukan SEA 2011, skuad muda negara melangkah ke pentas final untuk bertemu Indonesia selepas berjaya menewaskan Myanmar 1-0 hasil jaringan Ahmad Fakri Saarani. Di final skuad negara menang hasil penentuan sepakan penalti selepas Harimau Malaya dan Sang Garuda terikat 1-1 sepanjang 120 minit.

Tekanannya bukanlah biasa-biasa kerana mereka mengalami kesukaran untuk tiba ke stadium pada awalnya akibat ditahan. Menceritakan detik itu, Kim Swee menegaskan fokus dan mentaliti pemain adalah amat penting daripada memikirkan semua perkara yang berlaku di dalam atau di luar perlawanan tersebut.

nazmi faiz 2011 sukan sea

FOTO: Sea Games

“Ketika perjalanan ke stadium, pasti kita telah merasa sedikit panik apabila ditahan di luar stadium dimana bas kita tidak dibenarkan masuk ke perkarangan stadium. Tetapi apabila kita berada di dalam stadium, semua kembali dapat mengawal emosi dengan lebih baik dan menumpukan kepada perlawanan akhir tersebut.

“Pemain harus kekal fokus daripada memikirkan tentang tekanan-tekanan baik di dalam padang, di luar padang atau ketika menuju ke stadium. Jika berlaku sebarang kesulitan, kita tidak perlu marah, kita terimanya dan pastikan kita dalam keadaan terbaik daripada segi mental sebelum sepak mula,” sedikit perkongsian tips daripada Kim Swee kepada pemain-pemain Harimau Malaya.

Penutup

Biar apa pun dugaan dan tekanan yang bakal dihadapi malam ini, skuad negara sebenarnya memiliki sedikit kelebihan sejak dibawah kendalian Tan Cheng Hoe. Manfaatkan segala peluang yang terhidang agar tekanan itu akan kembali kepada tuan rumah.

Secebis bait lirik Mantera Beradu nyanyian Malique dan Datuk M. Nasir sebagai renungan buat pemain-pemain Malaysia.

“Kucing bawa tidur rimau bawa igau, Masuk tempat orang bawa otak bukan pisau.”

Selamat maju jaya Harimau Malaya!

Kredit Featured Image: Utusan