Datuk Ong Kim Swee yang merupakan pengendali utama Sabah menjadikan dua pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Kuala Lumpur City (KL City) sebagai sumber inspirasi buat dirinya.
Apa tidaknya, kedua pasukan tersebut sebelum ini sudah pun membuktikan kejayaan mereka dalam saingan Asia dengan JDT paling cemerlang untuk muncul selaku juara Piala AFC musim 2015.
Manakala KL City pula hampir mengulangi kejayaan tersebut selepas muncul di pentas final saingan tersebut tahun lalu, sebelum mereka mencatat kekalahan kepada Al-Seeb.
Sabah menjadi salah satu pasukan yang bakal membawa cabaran Malaysia musim ini untuk saingan Piala AFC dengan keputusan undian meletakkan pasukan itu di Kumpulan H.
Untuk saingan peringkat kumpulan itu, Sabah bakal berhadapan dengan wakil dari Indonesia iaitu PSM Makassar, Haiphong FC (Vietnam), serta Hougang United (Singapura).
Cabaran paling sengit pastinya terarah kepada PSM Makassar yang memiliki reputasi agak baik musim lalu dalam saingan Piala AFC untuk melepasi peringkat kumpulan.
Ulas Ong mengenai cabaran bakal dihadapi Sabah musim ini, beliau menganggap ianya bukan sesuatu mustahil untuk pasukan itu turut melakar sejarah tersendiri dalam kejohanan tersebut.
Ini kerana rekod telah membuktikan JDT serta KL City sudah pun membuktikannya sebelum itu dan ianya memberi suntikan moral cukup tinggi buat barisan pemainnya untuk turut menghadapi cabaran tersebut.
“Kami ingin jadikan JDT sebagai sumber inspirasi untuk muncul juara dan saya ingin jadikan KL City sebagai kepercayaan untuk para pemain, di mana KL City boleh layak ke perlawanan akhir dan inspirasi seperti JDT untuk muncul juara.
“Kami tidak meletakkan sasaran untuk ini tetapi kami mempunyai objektif dan untuk layak ke peringkat seterusnya.
“Ia akan memberikan impak yang berbeza buat pasukan Sabah untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia (Liga M) selepas ini,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Jaguh Bola Sepak Indonesia Jadi Lawan Sabah Untuk Saingan AFC
Pada masa sama, pengendali berpengalaman itu juga berharap agar para penyokong setia Sabah turut memberi sorakan motivasi buat pasukan tersebut sepanjang saingan itu berlangsung.
“Ianya adalah satu pencapaian yang baik untuk rakyat Sabah, penyokong yang setia dan mereka perlu berbangga.
“Teruskan sokongan kerana bukan mudah untuk layak ke peringkat seperti ini dan ianya penting untuk membantu pemain beraksi dengan baik,” katanya lagi.