Menjelang perhitungan di antara pasukan Malaysia dan Indonesia yang akan bermula kurang dari 48 jam lagi, jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee optimis pemain skuad kebangsaan mampu menyerap tekanan ketika bertandang ke Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), Jakarta.
Anak buah Tan Cheng Hoe telah selamat tiba di Jakarta pada petang tadi diiringi pasukan keselamatan Indonesia yang mengawal keadaan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak tuan rumah memastikan bas yang membawa pemain dan pegawai pasukan negara ke hotel dikawal ketat oleh kenderaan pihak berkuasa.
VIDEO: Skuad Harimau Malaya Tiba Di Jakarta
Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers pic.twitter.com/JZQG2XLZkc
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 3, 2019
Sekalipun beraksi sebagai tuan rumah bukanlah jaminan kepada mana-mana pasukan untuk meraih kemenangan, namun faktor sokongan padu penonton di stadium telah terbukti boleh memberikan kesan kepada mental pemain yang beraksi di atas padang.
Datuk Ong Kim Swee pernah membuktikan SUGBK bukanlah terlalu ampuh untuk ditakluki pemain Malaysia. Semasa temasya Sukan Sea 2011 di Jakarta, pengendali kelahiran Melaka itu berjaya mengecewakan tuan rumah dalam perebutan pingat emas selepas menang melalui penentuan sepakan penalti..
“Kita tahu apabila kita ke Indonesia, mereka merupakan pasukan pilihan dan kita merupakan underdog.”
“Daripada situ, pemain-pemain selalunya, apabila bermain di bawah tekanan, mereka akan bertambah baik,” kata Ong Kim Swee kepada pemberita TV3.
“Ini memberi petanda positif, di mana mengikut rekod kita [bermain] di Gelora Bung Karno dan juga perlawanan-perlawanan yang kita lalui dengan pasukan Indonesia baik di peringkat senior dan juga peringkat umur [lain] kita mempunyai kelebihan.” tambah beliau lagi.
Sekalipun begitu, rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan senior di SUGBK dalam empat perlawanan terakhir sejak 2010 menyaksikan Indonesia menang semua empat perlawanan di stadium keramat mereka itu.
Dalam saingan Piala AFF Suzuki pada 2010, Harimau Malaya tumbang diratah Garuda di peringkat kumpulan dengan keputusan 5-1 dan kemudiannya sekali lagi tewas 2-1 di perlawanan akhir.
Namun skuad kebangsaan tetap menjulang kejuaraan dwitahunan itu buat kali pertama selepas menang 4-2 secara agregat.
Kemudian dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2014 dan 2016 juga menyaksikan Malaysia tumpas 2-0 dan 3-0 kepada Indonesia di Jakarta.
Skuad negara akan bertemu Indonesia pada perlawanan yang dilangsungkan pada jam 8.30 malam waktu tempatan pada Khamis.