Quantcast

BERITA

Omar Abdulrahman Tidak Beraksi Berdepan Malaysia?

Omar Abdulrahman mungkin hanya akan memainkan peranan kecil dalam aksi pertama UAE menentang Malaysia pada Selasa depan.

Sentiasa menjadi buah mulut pihak lawan yang bakal bertembung dengan UAE menjelaskan bakatnya yang besar disamping pernah ditawarkan kontrak bersama Manchester City pada 2012 namun dinoktahkan dengan ranking UAE yang tidak menepati piawaian Liga Perdana Inggeris (EPL) serta masalah permit kerja.

Begitupun, untuk aksi pertama UAE dalam Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, dikhabarkan yang pemain tengah menyerang ini akan memainkan peranan kecil sahaja.

Ini berikutan Omar Abdulrahman baru sahaja kembali daripada kecederaan ACL yang dialaminya pada Oktober tahun lalu yang memaksanya berehat hampir setahun serta terlepas semua aksi Piala Asia pada Januari yang berlangsung di negara sendiri.

Tidak beraksi dalam saingan liga setakat ini, pemain yang akan menjengah ke usia 28 tahun pada bulan ini telah mengejutkan ramai pihak apabila pengendali UAE, Bert van Marwijk tetap menyenaraikannya untuk dibawa bertandang ke Malaysia.

Malah beliau kembali beraksi buat pertama kali bersama UAE ketika mereka membelasah Sri Lanka 5-1 dalam aksi pemanas badan sebelum berangkat ke Malaysia apabila tampil untuk tempoh 20 minit bagi aksi kompetatif pertamanya.

Kemungkinan besar van Marwijk tidak akan memaksa pemain yang dikenali dengan ketepatannya membuat hantaran serta memiliki skil dan kawalan bola yang baik ini ketika berdepan Malaysia tetapi kem UAE masih yakin Omar Abrulrahman tetap akan beraksi.

van Marwijk dikatakan dalam proses melakukan transisi pemain di dalam skuad UAE dengan perubahan telah mula dibuat dalam skuad yang akan terlibat sepanjang kempen kelayakan kali ini.

Beberapa pemain muda yang telah berjaya memikat pengendali berusia 67 tahun itu ketika kem skuad negara di Austria telah diberikan peluang untuk bersama skuad kebangsaan seperti Ali Saleh berusia 19 tahun dan Majed Suroor (21 tahun).

Tidak asing dengan suasana di Malaysia, UAE pernah beraksi di Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada tahun 2015 dan Omar Abdulrahman telah meledak satu gol untuk menewaskan Malaysia 2-1 di Stadium Shah Alam selepas membelasah Malaysia 10-0 pada September tahun yang sama.

Kredit Featured Image: UAE FA