Skuad bola sepak universiti Malaysia akan memulakan aksi sulung dalam Kejohanan Bola Sepak Jemputan Universiti Asia Bawah 23 Tahun (AUFF 2019) di Taebaek, Korea Selatan dengan berdepan Oman pada jam 1.30 petang ini.
Kejohanan ini bakal menjadi medan terbaik buat ketua jurulatih, Ridzuan Abu Shah dalam menilai kualiti para pemain untuk diadunkan dengan pemain senior yang kini beraksi dalam saingan Liga Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Universiti Asia di Chinese Taipei, September nanti.
Para pemain yang menggalas tanggungjawab negara di Korea Selatan ini adalah dalam kalangan pemain terbaik bagi saingan Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang telah diadakan.
Selain Oman, skuad negara turut akan menghadapi cabaran Korea Selatan B pada aksi kedua yang berlangsung esok, Korea Selatan A (30 Mei), Jepun (31 Mei) dan diakhiri dengan perlawanan menentang Chinese Taipei pada 2 Jun.
Menurut sumber Harian Metro, Ridzuan Abu Shah mengakui bahawa pasukan yang bakal ditentang adalah lawan sukar tetapi beliau percaya anak buahnya sudah bersedia untuk memberikan cabaran.
”Kita tahu reputasi Korea Selatan, Oman dan Jepun tapi kita akan cuba menampilkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk mendapatkan keputusan cemerlang.”
”Saya juga berharap kejohanan ini digunakan sebaik mungkin oleh pemain untuk menimba pengalaman di pentas antarabangsa,” jelas Ridzuan bercakap kepada wartawan Harian Metro.
Semoga skuad universiti Malaysia dapat mempamerkan corak permainan terbaik sekaligus memberikan saingan hebat buat pasukan lawan.
Kami di Semuanya BOLA dan peminat bola sepak tanah air mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan Universiti Malaysia!