Oliver Kahn yang kini bertindak selaku Pengarah Bayern Munich tanpa berselindung mengakui beliau amat skeptikal dengan peluang bagi melihat Leroy Sane dan Kai Havertz untuk menyarung jersi kelab Bavaria tersebut.
Nama dua pemain itu pada ketika ini seringkali dikaitkan dengan perpindahan ke Allianz Arena terutamanya spekulasi yang melibatkan Sane meskipun pemain kelahiran Essen, Jerman tersebut tidak beraksi sepanjang musim 2019/20 akibat kecederaan.
Susulan dengan wabak COVID-19 yang melanda, Kahn bagaimanapun beranggapan setiap pasukan sudah pasti tidak mahu terlalu boros dalam berbelanja bagi mendapatkan pemain baharu.
”Pada masa ini, terdapat perkara yang amat berbeza untuk diuruskan. Sekiranya pasaran [perpindahan pemain] dibuka sekali lagi, saya berasa lebih skeptikal [sangsi].”
”Kami sedang melihat segalanya pada ketika ini, sama seperti kelab Eropah yang lain. Saya tidak melihat mereka akan bersedia untuk mengeluarkan dana yang besar,” ujar Kahn menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Sudah tentu Havertz merupakan bakat yang cukup besar, pemain hebat, tetapi ia tidak bermakna Bayern berminat untuk mendapatkan semua pemain ini. Dia masih berada dalam kontrak sehingga 2022.”
”Sane pula mempunyai kecederaan yang dialami. Saya merasakan ia amat sukar pada hari ini untuk bercakap tentang pemain yang mempunyai kontrak pekerjaan yang sah.”
Dalam perkembangan yang sama mengenai Bayern Munich, Kahn menegaskan dalam usaha untuk menyambung kontrak pemain sedia ada seperti David Alaba dan Thiago Alcantara.
”Kami kini sedang berunding dengan semua pemain, baik Thiago mahupun Alaba. Alaba telah menunjukkan perkembangan baik, terutamanya pada beberapa bulan lepas.”
”Dia memimpin pasukan dengan baik, kami sangat gembira dengannya. Alaba telah bermain dengan Bayern Munich dalam tempoh yang lama.”
”Thiago pula berada di tahun ketujuhnya [bersama Bayern Munich]. Sudah jelas bahawa kadangkala kami bimbang tetapi saya merasakan, kami mempunyai hujah yang sangat baik, jika anda lihat dalam konteks Eropah, para pemain tahu mengapa mereka ada bersama kami.”