Tumpas 1-2 di tangan Astana tidak menghalang pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dari menghamburkan kata pujian buat pemain-pemain muda yang membuat penampilan sulung buat skuad utama The Red Devils itu.
Perlawanan yang berlangsung di Astana Arena itu menyaksikan Solskjaer menyenaraikan sebahagian besar pemain muda terutamanya enam pemain daripada Akademi Manchester United.
Ia dilihat bertujuan dalam memberikan pendedahan ketika United sudah pun mengesahkan tempat ke peringkat 32 terbaik Liga Europa 2019/20 dengan lebih awal.
Di’Shon Bernard, Ethan Laird dan Dylan Levitt diberikan peluang untuk membuat penampilan penuh pada perlawanan tersebut manakala D’Mani Mellor, Ethan Galbraith dan Largie Ramazani dimasukkan pada babak kedua selaku pemain gantian.
”Kami kecewa dengan keputusan akhir tetapi terdapat perkara positif diperoleh daripada perlawanan ini. Saya merasakan kami memulakan perlawanan dengan hebat.”
”Para pemain menguasai perlawanan dan tindak balas diberikan selepas mereka [Astana] menjaringkan gol kedua juga sangat baik.”
”Saya kecewa dengan tempoh 10 minit itu [Astana memperoleh dua jaringan], anda boleh merasakan tekanan yang datang tetapi terdapat persembahan hebat dipamerkan tiga pemain muda yang membuat penampilan sulung, mereka sangat cemerlang.”
Dalam perkembangan sama, Solskjaer mahu Di’Shon Bernard berbangga dengan penampilan sulungnya walaupun pemain pertahanan berusia 19 tahun itu menjaringkan gol sendiri yang sekaligus menghadiahkan kemenangan buat tuan rumah.
”Ia akan mengingatinya [jaringan sendiri] pada penampilan sulung itu tetapi saya mahu dia untuk mengingati 92 minit permainan dan setiap sentuhan dilakukannya.”
”Dia sangat cemerlang. Dia bertahan dengan cukup baik, melakukan beberapa ‘clearances’. Kadangkala penyerang terlepas peluang menjaringkan gol dan kadang-kadang pertahanan menjaringkan gol sendiri, itu sebahagian daripada kurang bernasib baik.”
Kredit foto: Manchester United