Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak berselindung bahawa beliau gembira untuk bekerjasama dengan David De Gea yang disifatkannya sebagai penjaga gol terbaik dunia.
Pada dua musim berturut-turut (2016/17 & 2017/18), De Gea mempamerkan aksi memukau ketika mengawal gawangnya sehingga menjadikan Manchester United sebagai pasukan kedua paling sedikit dibolosi.
Keadaan yang menunjukkan David De Gea mempamerkan peningkatan prestasi ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.
”Kami mempunyai penjaga gol yang terbaik di dunia,” Solskjaer bercakap kepada MUTV.
”Dia (David De Gea) sudah berada di sini selama lapan tahun dan dia merupakan penjaga gol yang masih muda. Ia sangat hebat buat saya untuk kesini (Manchester United) dan memilikinya.”
Dengan nada berseloroh, Solskjaer mempertimbangkan untuk turut sama menyertai latihan ‘finishing’ untuk menguji penjaga gol utama skuad kebangsaan Sepanyol itu.
”Mungkin saya perlu melakukan beberapa latihan penyudah (finishing) untuk membuat pemeriksaan terhadapnya.”
Pada musim ini, De Gea mengalami sedikit penurunan prestasi selepas hanya tidak dibolosi dalam dua perlawanan (menentang Burnley dan Crystal Palace) serta sudah dibolosi sebanyak 29 gol.
Jumlah bolos yang sudah melebihi mata dikumpul United ketika ini serta turut melebihi jumlah bolos bagi musim lalu.
Namun, beliau masih mampu melakukan 61 ‘saves’ untuk menjadi penjaga gol keempat dengan ‘saves’ terbanyak selepas mengharungi 17 perlawanan liga setakat ini.