Pengarah Urusan Manchester United, Richard Arnold berkata beliau tidak pasti sama ada sebarang usaha untuk membesarkan kapasiti Stadium Old Trafford pada masa akan datang boleh dilakukan tanpa membuatkan pasukan itu beraksi di gelanggang lain buat sementara waktu.
Terdapat gesaan daripada beberapa pihak agar stadium terbesar di England ini dibaikpulik; bukan sahaja sekadar meengecat kembali, malah termasuk menambah keluasan stadium berkenaan yang mempunyai kapasiti 74,994 pada hari ini.
Pemegang taruh yang terdiri daripada kalangan penyokong, ataupun dikenali sebagai The Manchester United Supporters’ Trust (MUST) sebelum ini mahukan Old Trafford menjadi stadium terbesar di Eropah, dengan rancangan mempertingkatkan kapasiti stadium kepada 88,000.
Namun Arnold berkata akan timbul beberapa isu lain jika pelan ini diteruskan dengan perancangan akan tertumpu ke arah Sir Bobby Charlton Stand untuk tujuan pengubahsuaian.
Antaranya ialah untuk mencari gelanggang lain yang sesuai sepertimana yang dipraktikkan oleh Tottenham Hotspur pada musim ini.
Menurut Arnold, Sir Bobby Charlton Stand adalah satu-satunya bahagian yang belum diusik untuk tujuan pengubahsuaian sebelum ini.
“Rekabentuk yang terdapat di Sir Bobby Charlton Stand menjadikan tugas kejuruteraan menjadi sukar. Jaraknya begitu dekat dengan padang, dan turut dihalang oleh landasan keretapi di bahagian luar.”
“Jika benar pelan pembangunan Sir Bobby Charlton Stand diteruskan, ia pasti mengambil masa lebih dari semusim. Dan ini akan membuatkan Manchester United hilang gelanggang rasmi mereka ini untuk seketika.”
“Masalahnya ialah Manchester United mempunyai penyokong yang ramai, dan kami bukan pasukan dari London. Jika tidak, idea penggunaan Wembley mungkin boleh dipertimbangkan.”
“Itu bukan satu cabaran yang mudah, dan sudah tentu kami juga tidak mahu hilang keistimewaan sebagai pasukan tuan rumah seperti di Old Trafford.”
“Untuk memindahkan aksi dari Old Trafford sudah menyukarkan. Dan masalah ini belum mengambilkira masalah berkaitan logistik yang tidak boleh diabaikan.”
“Bayangkan semua masalah ini. Itupun belum mengambilkira jumlah kapasiti baharu yang kita mahu muatkan.”
Di sebalik semua permasalahan dan kesukaran yang dinilai pada hari ini, Arnold yakin bahawa Old Trafford akan diperbesarkan lagi satu hari nanti ketika keperluan amat-amat memerlukan.
Mungkinkah MUST turut perlu memikirkan prihal atmosfera perlawanan di stadium berkenaan terlebih dahulu setelah disifatkan oleh Jose Mourinho sebagai ‘sunyi’ sebelum mengambilkira langkah penambahan kapasiti?