Dalam 17 peraturan bola sepak yang digubal oleh FIFA, peraturan ke-11 – offside atau ofsaid – merupakan peraturan yang paling mengelirukan sama ada bagi peminat mahupun pemain bola sepak sendiri.
Bahkan, ada juga peminat bola sepak yang merasakan mereka memahami peraturan ofsaid, namun sebenarnya tidak.
Mengambil contoh perlawanan separuh akhir Terengganu menentang LionsXII di pusingan separuh akhir Piala FA 2015 tempoh hari, penyokong Terengganu merusuh apabila mempertikaikan keputusan pengadil yang membatalkan gol lewat Terengganu.
Beberapa pemain Terengganu pula menentang keputusan pengadil sehingga dihukum penggantungan oleh FAM. Pembatalan gol tersebut telah menyaksikan Terengganu disingkirkan.
Malah, apa yang lebih menarik, terdapat wartawan sukan juga yang mempertikaikan status gol tersebut di dada akhbar walaupun pada dasarnya ia jelas ofsaid.
Bagaimana seseorang pemain dikatakan dalam posisi ofsaid?
Seseorang pemain dikatakan ofsaid apabila posisinya lebih hampir kepada garisan gol pihak lawan daripada bola dan pemain kedua terakhir pihak lawan.
Dalam bahasa mudahnya, seseorang pemain dikatakan berada dalam posisi ofsaid apabila terdapat kurang daripada 2 orang (1+1) pemain pihak lawan di hadapan pintu gol pihak lawan.
Dengan konsep 1+1 ini, apa yang biasa berlaku adalah salah seorang pemain pertahanan menjadi pemain kedua terakhir, dan penjaga gol menjadi pemain terakhir dalam kawasan gol. Namun, apa yang perlu anda faham adalah, penjaga gol tidak semestinya menjadi salah seorang dari pemain terakhir pihak lawan.
Ini bermakna jika terdapat kurang 2 orang pemain lawan di hadapannya, pemain yang menyerang itu ofsaid. Bukan seorang, tetapi dua!
Contoh posisi pemain tidak ofsaid
Bagaimanapun, seseorang pemain itu tidak dikatakan ofsaid jika:
1. Pemain (biru no.7) berada dalam kawasan padang pasukannya sendiri.
Dalam situasi ini, pemain biru no. 7 tidak ofsaid kerana dia berada dalam kawasan padang pasukannya sendiri, walaupun tidak terdapat sebarang pemain dari pasukan merah di hadapannya.
2. Posisi pemain (merah no.9) selari dengan pemain kedua terakhir (biru no.4) pihak lawan.
3. Posisi pemain (merah no.9) selari dengan dua pemain terakhir pihak lawan (biru no.1 dan no.4).
Yang sering menjadi salah faham adalah apabila peminat bola sepak menyangka: penjaga gol tidak termasuk dalam kategori 2 pemain terakhir peraturan ofsaid. Ingat peraturan 1+1, ya?
Bagaimana jika pemain ofsaid itu tidak menyentuh bola?
Seperti yang anda faham setakat ini, pengadil akan membunyikan wisel apabila pemain berada dalam posisi ofsaid DAN menyentuh bola yang dihantar oleh rakan sepasukannya.
Ini bermakna jika pemain berada di kedudukan ofsaid TETAPI tidak menyentuh bola, pengadil tidak akan membunyikan wisel selagi pemain itu tidak membuat 2 perkara ini:
1. Mengganggu pihak lawan daripada melakukan aksi pertahanan seperti menghalang penglihatan dan menganggu konsentrasi penjaga gol/pertahanan terakhir.
Contoh:
https://www.youtube.com/watch?v=tfycnvWsO9E
Dan jangan lupa gol Christian Benteke yang sepatutnya dibatalkan kerana ofsaid kerana Coutinho terang-terang menganggu penglihatan dan konsentrasi penjaga gol Bournemouth untuk menyelamatkan percubaan Benteke.
https://youtu.be/9VRhFPkykgY
2. Pemain mendapat peluang menjaringkan gol apabila berada dalam posisi ofsaid
Contoh:
Bagaimanapun pengadil tidak akan membunyikan wisel walaupun ada pemain mendapat peluang menjaringkan gol dalam posisi ofsaid jika ada pemain lain yang tidak ofsaid menerima bola seperti dalam gambar di bawah:
Contoh:
Bila peraturan ofsaid dikecualikan?
Peraturan offside kepada pemain dikecualikan apabila pemain tersebut menerima hantaran dari:
- Sepakan gol
- Lontaran ke dalam
- Sepakan sudut
Jika sepakan sudut tiada ofsaid, mengapa gol Terengganu dibatalkan?
Walaupun gol Terengganu itu berasal dari sepakan sudut, bola yang ditanduk oleh Nordin Alias berasal dari tandukan pemain Terengganu, bukannya dari sepakan sudut tersebut.
Malah posisi Nordin jelas ofsaid sebaik sahaja beliau menyambar bola tandukan rakan sepasukannya kerana terdapat kurang daripada 2 orang (1 penjaga gol+1 pertahanan) pemain pihak lawan di hadapan gol lawan.
Malah ingat lagi gol Carlos Vela yang dibatalkan ketika Mexico menentang Afrika Selatan pada aksi Piala Dunia 2010? Gol Vela dibatalkan kerana sepakan sudut tersebut telah ditanduk oleh rakan sepasukannya dan beliau berada di posisi ofsaid.
Mengapa perlu ada peraturan ofsaid?
Peraturan offside dicipta untuk menggalakkan bola sepak bercorak menyerang, kompetitif dan menghiburkan.
Jika peraturan ofsaid tidak dicipta, pasukan hanya akan membuat hantaran jauh sepanjang masa dan meletakkan pemain penyerang berhampiran kawasan gol pihak lawan. Dalam erti kata lain, peraturan ofsaid diwujudkan untuk mengelakkan pemain ‘mencuri ayam’.
Malah jika tidak kerana peraturan ofsaid, pemain bertubuh kecil dan perlahan tiada tempat dalam bola sepak.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, disebalik latihan dan kursus yang dijalankan, pengadil tetap akan membuat kesilapan kerana adat manusia; kita sentiasa melakukan kesilapan.
Cadangan untuk menggunakan ulang tayang rakaman seperti sukan ragbi untuk mengurangkan kesilapan pengadil bagaimanapun ditolak mentah-mentah oleh FIFA atas alasan akan meningkatkan kos pertandingan dan liga bola sepak selain menyebabkan perlawanan menjadi perlahan dan kurang menarik (baca: kurang drama).
Apa pula kata anda? Adakah anda mahu bola sepak mula menggunakan ulang tayang rakaman untuk membantu pengadil membuat keputusan atau anda mahu mengekalkan bola sepak seringkas mungkin? Beritahu pendapat anda di ruangan komen.
Sumber: Telegraph UK, FIFA, Sky Sports
Baca juga: MENGAPA GOL TERENGGANU MENENTANG LIONSXII DIBATALKAN?