Penyerang Manchester United yang dipinjamkan dari Shanghai Shenhua, Odion Ighalo mengakui bahawa pemain muda, Mason Greenwood mempunyai masa depan cerah untuk memainkan peranan penting buat The Red Devils.
Greenwood yang mula mendapat kepercayaan pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer pada musim ini telah berjaya menjaringkan 12 gol dalam 37 penampilannya di semua pertandingan disertai Manchester United.
Ia merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan buat penyerang berusia 18 tahun kelahiran Bradford ini tatkala Manchester United turut mempunyai Marcus Rashford dan Anthony Martial di jentera serangan.
Persembahan bertenaga ditampilkan Greenwood juga telah mendapat pujian daripada Solskjaer yang menyifatkan pemainnya itu mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol menggunakan kedua-dua belah kakinya dan dilabelkan sebagai peledak luar biasa.
Sehubungan dengan itu, Ighalo turut mengharapkan agar Greenwood dapat menjadi antara watak penting buat Manchester United untuk beberapa tahun akan datang.
”Dia masih sangat muda dan menarik.”
”Merupakan pemain yang sangat baik, kaki kiri dan kanan, dia boleh melakukan rembatan dan menjaringkan gol.”
”Dia adalah pemain masa depan buat Manchester United. Sekarang ini, dia telah melakukan tugasan dengan baik tetapi dalam dua atau tiga tahun mendatang dia akan melakukannya dengan sangat baik lagi,” ujar Odion Ighalo menurut laporan dikeluarkan Goal.
Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images