Kelab Championship yang masih segar dari kejayaan menyingkirkan Arsenal 4-2 di pusingan ke-3 saingan Piala FA Inggeris baru-baru ini mengumumkan perlantikan Aitor Karanka sebagai pengurus baharu kelab berkenaan.
Karanka dilaporkan bersetuju untuk menerima tawaran kontrak selama dua tahun setengah untuk menggantikan Mark Warburton, yang dipecat oleh hierarki Nottingham pada 31 Disember tahun lalu.
Untuk rekod, Mark Warburton hanya mengendalikan bekas juara Piala Eropah sebanyak dua kali itu selama sembilan bulan sebelum dipecat.
Karanka tidak bersama mana-mana kelab sebelum ini selepas meninggalkan Middlesbrough pada Mac 2017.
Pengendali berbangsa Sepanyol itu telah mengendalikan kelab Teesside selama tiga tahun setengah, dan berjaya membawa Boro kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2015-16.
Namun demikian, Karanka dipecat sebagai pengurus Middlesbrough selepas gagal mencapai sebarang kemenangan dalam 10 perlawanan, dan kelab berkenaan mulai bergelut untuk kekal di pentas sainga tertinggi bola sepak Inggeris tersebut.
Cabaran Karanka bersama Nottingham Forest akan bermula pada 13 Januari hadapan, dengan kunjungan ke Aston Villa.
Untuk itu, Karanka pasti akan mengharapkan keputusan positif menyingkirkan Arsenal mampu memberi dorongan untuk pemainnya membuktikan keupayaan, tatkala Hull City menanti mereka di pusingan ke-4 dalam saingan Piala FA.
Sehingga artikel ini ditulis, Nottingham Forest menduduki tangga ke-14 di Championship, dan berada 11 mata untuk saingan play-off pada penghujung musim untuk sebarang peluang dinaikkan ke EPL pada musim hadapan.
Selepas mengumumkan perlantikan Karanka, Pengerusi kelab, Nicholas Randall berkata:
“Karanka adalah calon yang sesuai kerana mempunyai profil yang memenuhi kriteria dan sepadan dengan visi kelab ini untuk masa hadapan.”
“Objektif kami sangat jelas. Di sini kami mahu membina sebuah kelab bola sepak yang mempunyai masa hadapan yang cerah.”
“Penyokong kelab ini sentiasa menakjubkan, dan mereka selayaknya melihat kelab kesayangan mereka kembali ke EPL. Untuk itu semua pihak berusaha sebaik mungkin, di dalam mahupun di luar padang untuk mencapai sasaran tersebut.”
“Kami juga percaya bahawa Aitor Karanka mempunyai kebolehan untuk mengemudi pemain-pemain untuk saingan di atas padang.
Perlantikan Karanka ini bermakna bekas pembantu jurulatih Real Madrid ini adalah pengendali ke-10 Nottingham Forest sejak pemecatan Billy Davies pada Jun 2011.