Gagal, teruk dan hancur. Itu merupakan di antara perkataan yang dipilih oleh sebahagian penyokong Harimau Malaya untuk menggambarkan keadaan semasa skuad kebangsaan Malaysia ketika ini
Apabila berlakunya ‘malapetaka’ seperti ini, seharusnya ada pihak yang ‘sedar diri’ dan bertanggungjawab dalam memikul kegagalan yang berlaku.
Tajuk artikel ini mungkin menimbulkan sedikit ‘kontroversi’ jika tidak dilihat pada konteks yang betul.
Tetapi berdasarkan maksud di dalam Kamus Dewan dan Bahasa, ia sebenarnya adalah perkataan yang paling tepat dalam menggambarkan perihal yang mendatangkan rasa ‘malu’, iaitu malu di atas kegagalan yang sudah berlaku.
Kita akhirnya menerima perkhabaran bahawa pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dengan sikap ‘gentleman’ mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih.
Justeru itu, apakah pula pendirian Datuk Hamidin Mohd Amin selaku ‘orang nombor satu’ dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?
Tidakkah beliau sepatutnya berasa malu untuk terus berada di posisi itu selepas melihat segala masalah serta kepincangan sehingga skuad negara diaibkan di pentas kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 tempoh hari?
Apakah kejayaan yang boleh dibanggakan oleh Hamidin kecuali menghasilkan pelitup muka yang tertera ‘DHMA’ iaitu singkatan daripada namanya yang dibekalkan kepada semua pemain dan pegawai yang dibawa ke Singapura?
Sebelum bermula kejohanan lagi, antara persoalan terbesar adalah slot pemain yang dibawa ke Singapura di mana FAM membawa 24 orang pemain sahaja.
Sedangkan Persukutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah membenarkan setiap pasukan bertanding membawa 30 orang pemain dan 11 orang staf termasuk jurulatih, pengurus pasukan dan lain-lain dengan semuanya dibiayai oleh AFF.
Berdasarkan senarai Jawatankuasa Ad-Hoc FAM, Hamidin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan.
Jadi, adakah wajar untuk meletakkan beban kegagalan ke atas bahu jurulatih sedangkan Presiden FAM yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan akhir?
Park Hang-seo: "Setiap Pasukan Boleh Bawa 30 Pemain, Permintaan Malaysia Tukar Pemain Tak Munasabah"https://t.co/qPcsyB3M4s
— VOCKET FC (@vocketfc) December 11, 2021
Jika ada individu yang sepatutnya ‘dihumban’, sudah tentulah ia adalah Presiden FAM dan juak-juaknya yang keputusan.
Setiap kali ditanya oleh wartawan, langsung tiada jawapan yang jelas. Maka tidak hairanlah timbul spekulasi yang mendakwa FAM menggunakan baki slot enam pemain itu untuk membawa ‘kroni’ atau individu yang tidak berkaitan.
Entah apa agaknya dalam kepala Hamidin sedangkan semua orang tahu AFF meletakkan slot 30 orang pemain itu sebagai persediaan penting disebabkan jadual kejohanan yang begitu padat serta langkah berjaga-jaga sekiranya ada pemain yang diserang wabak Covid-19 atau mengalami kecederaan.
Akhirnya situasi buruk itu benar-benar berlaku dengan 4 orang pemain negara terpaksa menjalani kuarantin, kemudian beberapa pemain utama mengalami kecederaan di samping Dion Cools pula tiba lewat bersama pasukan kerana komitmen bersama kelabnya di Eropah.
Pasukan Mana Lagi Yang ‘Yakinnya Kamu’ Tak Bawa 30 Pemain Selain Malaysia?
Tidak salah untuk kita mengatakan ini adalah soal bagaimana seseorang individu itu mengambil tanggungjawab di atas kegagalan.
Le Khanh Hai tidak mengambil mana yang lama untuk meletakkan jawatannya selaku Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), iaitu hanya lima hari selepas Vietnam tersingkir di peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 tempoh hari.
Walaupun kita semua tahu kualiti dan pencapaian luar biasa Vietnam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak menjadi alasan untuk seseorang merasa ‘malu’ di atas sedikit kegagalan yang berlaku di bawah tanggungjawabnya.
Mungkin kita juga boleh ambil contoh yang berlaku pada tahun 2018 yang lalu apabila skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16) gagal layak ke Piala Dunia B-17 2019.
Individu pertama yang meletakkan jawatan adalah CEO Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar. Kemudian ia disusuli pula dengan pemecatan Lim Teong Kim selaku ketua jurulatih.
CEO Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar letak jawatan ekoran kegagalan skuad bola sepak B-16 layak ke Piala Dunia Bawah 17 2019 – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq pic.twitter.com/vccSf3HRsu
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) September 27, 2018
Ia menggambarkan bahawa individu yang sentiasa menjadi ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan adalah jurulatih.
Pada waktu itu, siapakah individu dalam FAM yang bersikap ‘gentleman’ untuk bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut dan meletakkan jawatannya? Jawapannya tiada!
Persoalan terakhir, sampai bilakah budaya ‘haprak’ ini akan berterusan?