Quantcast

BERITA

North American Soccer League: Pengurusan Liga Lemah Dan Dibayangi Populariti MLS?

Jika kita bertanyakan kepada generasi yang menikmati aksi bola sepak pada 1960an sehingga 1980an, pasti mereka akan ingat liga ini. Ya, North American Soccer League (NASL).

NASL pernah menyaksikan beberapa orang bintang terkemuka bermain di liga ini. Antara pemain tersebut ialah Pele, Franz Beckenbauer dan Johan Cruyff.

Namun, itu semua sejarah pahit ditelan oleh pengurusan liga bola sepak di Amerika Syarikat (baca sebagai: Amerika Utara). NASL sebenarnya sudah gagal. Hanya sempat hidup di antara tahun 1967 sehingga 1985. Akhirnya NASL terpaksa dibubarkan.

Membawa nama sama, tapi tiada apa-apa hakikatnya.

Nama NASL ini hidup semula pada 2009. Sebenarnya kewujudan NASL alaf baru ini LANGSUNG TIADA KENA MENGENA dengan NASL yang asal. 8 kelab menyertai musim sulung NASL ini pada 2011.

Kelab tersebut iaitu Atlanta Silverbacks, Carolina Railhawks, Edmonton, Fort Lauderdale Strikers, Montreal Impact, Minnesota Stars, Puerto Rico dan Tampa Bay.

Format NASL dibahagikan kepada dua musim dalam satu tahun kalendar. Ia mirip seperti Apertura dan Clasura kebanyakan liga Amerika Selatan. Namanya dikenali sebagai Spring dan Fall Season.

Konsep ini berbeza dengan MLS yang mewujudkan East dan West Conference. Sebagaimana Major League Soccer (MLS), format NASL juga menggunakan konsep dua kejuaraan.

Kejuaraan North American Supporters’ Trophy (gambar di atas) akan diberikan kepada kelab yang mendahului kedudukan carta setelah Spring dan Fall Season tamat.

Manakala, play-off akan dilaksanakan setelah Regular Season (gabungan Spring dan Fall Season) tamat. Juara Spring Season dan Juara Fall Season akan meraih tiket ke play-off.

Dua lagi kelab diberikan tiket menyertai play-off setelah menjadi tempat ketiga dan keempat Regular Season. Perlawanan akhir dikenali sebagai Soccer Bowl.

Tersepit dalam masalah

Pelbagai isu menular sewaktu NASL ini diadakan. Antara cabaran utama ialah bilangan kelab bertanding tidak tetap. Fall Season 2016 menyaksikan rekod terbanyak kelab bertanding iaitu 12 kelab.

Namun, bilangan itu berkurangan kepada 10 apabila Ottawa Fury dan Tampa Bay Rowdies berpindah liga ke United Soccer League.

Nota tambahan: United Soccer League pula Divisyen III dalam sistem liga bola sepak Amerika Syarikat.

Selain itu, ada juga kelab diberikan mandat untuk menyertai NASL seperti Oklahama City dan Virginia Cavalry. Namun kedua dua kelab ini tidak menurunkan pasukan untuk bertanding.

Tambah parah apabila Virginia Cavalry menutup operasi pada tahun lalu walaupun diberikan lesen pada 2014 Pernah juga berlaku ada kelab yang bertanding meninggalkan NASL untuk ke MLS.

Contohnya, Montreal Impact. Impact hanya bertanding semusim dalam NASL iaitu pada edisi 2011.

Tarik tali dengan MLS

MLS, boleh dikatakan abang besar kepada liga bola sepak Amerika Syarikat. Masakan tidak, MLS dilahirkan terlebih dahulu sebelum NASL dan USL. MLS dan NASL sentiasa memberikan saingan untuk menempatkan ‘expansion team’.

NASL tidak mengecapi banyak kelebihan seperti MLS. NASL tidak mendapat kontrak penyiaran yang sangat lumayan. Begitu juga dengan liputan di media massa.

Kebanyakan liputan itu hanya bergantung kepada media tempatan di kotaraya yang menempatkan kelab. Walhal, beberapa kelab seperti New York Cosmos, Fort Lauderdale dan Tampa Bay Rowdies dahulunya pernah meniti di bibir peminat bola sepak di negara Uncle Sam.

Cuma kelab disebutkan tadi tidak memikul sejarah dan statistik di saingan NASL yang terdahulu.

NASL jarang menerima perpindahan masuk yang menjadi coretan utama media bola sepak dunia. Jika ada pun, Joe Cole (gambar atas) ke Tampa Bay Rowdies. Selain itu, Eamon Zayed berpindah dari Sabah ke Indy Eleven.

Naik turun

Penulis pasti anda akan hairan kenapa liga-liga ini tiada konsep promotion and relegation seperti diamalkan majoriti liga di dunia. Memang idea ini sebenarnya pernah diutarakan pada 2014.

NASL melalui Komisinernya, Bill Peterson berpendapat konsep ini akan berjaya di Eropah dan penonton akan lebih menghargainya. Berbeza dengan MLS yang menolak idea tersebut.

Entah mengapalah idea ini nampak tidak menarik di mata MLS.

Kesimpulan

Kepayahan merupakan perkara biasa apabila mewujudkan liga baru di saingan domestik. Memang ia mengambil masa yang sangat panjang. Penulis mengharapkan satu sistem liga bola sepak yang baik diwujudkan di Malaysia.

Liga itu mestilah menggabungkan Liga IPT, Liga Bola Sepak Rakyat atau Liga M! Janji ia dapat membentuk sebuah sistem mantap dan jitu.

 

Baca juga : SA Antlers 1-1 Ingress Tigers: Antlers Diikat Di Halaman Sendiri

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!