Melaka United mengumumkan Norazlan Razali sebagai pemain baharu mereka. Agak pelik kerana pengumuman dibuat menerusi media ketika aksi Malaysia dan Indonesia tempoh hari.
Kesannya, ramai peminat bola sepak tak sedar akan perkembangan ini.
Norazlan Razali menjadi penjaga gol baharu Melaka. Norazlan meninggalkan pasukan Felda United bagi memperkuatkan pasukan Melaka bagi saingan musim baharu.
Dan bekas pemain Selangor dan JDT itu sudah sedia untuk merebut tempat Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gol utama.
Melaka kini memiliki 3 penjaga gol yang boleh dikatakan berkaliber untuk menjadi penjaga gol utama.
Menurut Norazlan, beliau tiada masalah untuk memberikan saingan kerana ianya sudah biasa bagi penjaga gol profesional.
Norazlan memberitahu Harian Metro: “Biarpun perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol iaitu Apek (Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Ahmad Solehin Mamat, saya akan lelakukan yang terbaik untuk dipilih selaku pilihan utama.”
“Lagipun saya sudah biasa bersaing untuk merebut posisi utama ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.”
“Saya juga sukakan kepada cabaran apabila bersaing dengan Mohd Izham Tarmizi Roslan dari JDT dan Khairul Azhan Mohd Khalid (Selangor) sebelum ini.”
“Bagi saya jika kita dapat mempamerkan prestasi dan komited, rezeki selaku penjaga gol utama akan menjadi milik kita,” katanya.
Ditanya keputusan berhijrah ke Melaka United selepas bersama The Fighters selama semusim, Norazlan berkata, ia keputusan yang sukar.
Namun, dia yang sukakan cabaran bersedia untuk membantu MelaKa United meraih kejayaan membanggakan.
“Saya harapkan rakan sepasukan juga dapat mempamerkan prestasi lebih baik,” katanya.
Norazlan antara pemain yang paling cergas musim lalu dengan bermain dalam kesemua perlawanan liga dan kejohanan pilala domestik.
Selamat maju jaya kepada Norazlan Razali.