Pemain sayap kiri lincah, Mohd Nor Hakim Hassan sah akan meninggalkan finalis Piala FA 2019, Perak selepas dua musim menjadi sandaran utama buat skuad ‘Yob’ itu.
Berita itu disahkan sendiri oleh Nor Hakim apabila beliau memuatnaik satu ‘posting’ di laman Instagram rasmi miliknya yang turut disertakan ucapan penghargaan buat pasukan Perak.
”Saya di sini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan Perak, ‘coach’ Mehmed [Durakovic] dan rakan-rakan saya selama dua tahun saya bersama Perak.”
”Saya juga ingin memohon ampun jikalau ada yang saya tersilap cakap atau gurau senda yang membuat kalian semua terasa selama dua tahun ini.”
”Banyak pengalaman yang saya dapat dapat selama dua tahun bersama Perak. InsyaAllah ada rezeki kita jumpa lagi. Pengalaman yang tak akan saya dapat lupakan. ‘Good luck my TBGfamily 2020’.”
Selain sentiasa menjadi pilihan Mehmed Durakovic bagi mengisi posisi sayap kiri, Nor Hakim berjaya membantu Perak kembali menjulang trofi Piala Malaysia 2018.
Dalam perkembangan yang sama, khabar angin semakin kuat mengatakan bahawa pemain kelahiran Terengganu itu akan beraksi di salah sebuah pasukan Lembah Klang.