Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Nombor Tempat Duduk Pada Tiket Perlawanan Ada Fungsinya Yang Tersendiri

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mula memperkenalkan tempat duduk bernombor bermula pada Ogos yang lalu iaitu ketika perlawanan persahabatan kelas A menentang Jordan.

Sejak perlawanan tersebut, sehingga ke hari ini, kesemua perlawanan bola sepak kompetitif membabitkan pasukan kebangsaan dan perlawanan akhir Piala Malaysia menggunakan sistem tiket bernombor tempat duduk dengan pembelian menerusi TicketHotline.

Pembeli tiket perlu log masuk ke dalam laman web tersebut, pilih perlawanan yang mereka ingin tonton di Stadium Nasional, KL Sports City, pilih jenis tempat duduk sama ada premium, grandstand atau terbuka, seterusnya memilih bahagian atau section tempat duduk mereka dan menjelaskan bayaran.

Sistem ini dilihat teratur kerana kita sebagai penyokong bola sepak sudah lama mahukan sistem sebegini dijalankan di Malaysia kerana dengan adanya sistem ini, kita tak perlu ‘chup’ tempat duduk untuk kawan-kawan, tak perlu datang ke stadium terlalu awal hanya untuk mendapatkan seat dan view yang baik untuk menonton perlawanan dan banyak lagi kelebihan.

Begitupun, masih ada ketirisan lain yang berlaku dalam kes ini.

Masih ramai tidak mengikut tempat duduk yang ditetapkan!

Ya betul. Walaupun sistem telah menetapkan tempat duduk masing-masing kepada para penyokong, masih ada segelintir penyokong yang gagal untuk mengikuti prosedur ini.

Sepatutnya dengan adanya cetakan nombor tempat duduk pada tiket, kesemua penyokong tidak kira apa jua golongan termasuk orang tua, lelaki, wanita dan kanak-kanak sudah boleh duduk di tempat duduk masing-masing dengan teratur.

Perkara ini sudah berlaku dengan sangat kerap sejak Ogos yang lalu di mana para penyokong tidak duduk di tempat mereka, duduk di tempat lain malah lebih mengeruhkan keadaan mereka mengambil tempat duduk orang lain.

Perkara ini tentunya salah kerana setiap orang sudah diberikan tempat duduk masing-masing. Mengapa kalian perlu mengambil tempat lain pula?

Marshal tidak mengambil berat soal ini

Poin seterusnya bukanlah untuk menyatakan marshal di stadium hari ini tidak bertugas dengan baik, tetapi kita mahu menambahbaik lagi tugas mereka.

Sebagai contoh kes tadi, tempat duduk kita ‘dicuri’ orang lain, seterusnya kita laporkan kepada pihak marshal dan mereka yang bertanggungjawab.

Apa yang menyedihkan ialah mereka bersikap acuh tak acuh dan membiarkan sahaja mereka yang duduk di tempat duduk yang salah itu dan tiada tindakan diambil.

Lebih teruk lagi, ada marshal yang mengarahkan penyokong untuk duduk sahaja di mana-mana. Adakah mereka tidak diberitahu bahawa setiap penyokong sudah diberikan tempat duduk masing-masing dan bagaimana mereka boleh dibiarkan sahaja duduk di tempat lain?

Kumpulan marshal stadium perlu ditambahbaik dalam soal ini.

Mengapa tidak benarkan penyokong pilih tempat duduk dalam sistem tersebut?

Kepada yang sudah biasa atau pernah menggunakan perkhidmatan pembelian tiket menerusi TicketHotline ini sudah tentu pernah tertanya-tanya dengan soalan ini.

Mengapa sistem yang menentukan tempat duduk kita? Mengapa tidak kita sahaja memilih tempat duduk? Kadangkala mendengar cerita dari rakan-rakan, mereka pergi ke stadium berlima, tetapi oleh sebab sistem menentukan nombor tiket, maka ada tiga terpaksa berpisah. Ada yang turun ke stadium 10 orang, selepas pembelian tiket dibuat, seorang terpaksa berpisah. Apa gunanya ke stadium beramai-ramai jika hanya duduk seorang diri berpisah dengan rakan-rakan lain?

Penulis juga berfikiran sama. Sistem tiket bernombor tempat duduk ini sudah baik. Ia adalah apa yang kita semua mahukan, cuma belum 100 peratus apa yang kita inginkan kerana tempat duduk hanya ditentukan oleh sistem selepas kita memilih section.

Namun, apa yang boleh penulis simpulkan, mungkin pihak TicketHotline masih dalam proses penambahbaikan sistem mereka juga, kerana sebelum ini kita langsung tidak dapat memilih section dan tempat duduk juga tidak diberikan. Kita bebas memilih untuk di mana pun secara rawak sebelum ini.

Apa yang telah dilakukan TicketHotline ketika ini sudah cukup baik berbanding sebelum ini, dan kita harapkan dalam masa jangka panjang, mereka akan membenarkan kita memilih tempat duduk secara spesifik pula. Maklum sahajalah, orang kita apabila tibanya ‘perlawanan panas’, semuanya berebut. Mungkin mereka masih menguji server mereka agar puluhan ribu manusia boleh masuk serentak dan dapat memilih tempat duduk.

Kesimpulan

Kepada kesemua penyokong yang akan turun ke Stadium Nasional, KL Sports City pada Selasa ini dan juga semua penyokong yang akan hadir dalam perlawanan-perlawanan selepas ini, penulis mohon kepada semua, dari sudut hati yang terdalam agar kita semua mempunyai kesedaran dalam diri masing-masing untuk kita sama-sama duduk mengikut nombor tempat duduk yang ditetapkan.

Kepada pihak berwajib, mohon awasi mereka yang gagal mengikuti prosedur ini dan kepada TicketHotline, harapnya ada sinar yang lebih terang di hujung terowong nanti.

Akhir kata, selamat maju jaya kepada skuad Harimau Malaya dan ayuh Malaysiaku!