“No Ifedayo, No Problem” – Danial Asri Kian Tajam Depan Gawang

danial asri selangor fc 2021

Di saat majoriti penyerang tempatan dilihat susah untuk cari makan dalam saingan liga tempatan kini, pemain muda, Danial Asri yang bermain untuk Selangor FC masih aktif bermain dan mencetak gol buat The Red Giants.

Dalam saingan Piala Malaysia 2021, selepas melalui empat perlawanan, beliau telah meledak tiga gol peribadi.

Walaupun Ifedayo Olusegun mungkin akan terus tersisih selepas tidak turun dalam dua aksi berdepan Kuching FC, mereka tidak perlu risau kerana masih ada Danial Asri. Beraksi dalam hampir semua perlawanan liga – 21 penampilan dengan lapan kali dalam kesebelasan utama, beliau tidak perlu tunggu lama untuk sesuaikan diri.

Beliau boleh dikatakan memiliki pakej lengkap sebagai seorang penyerang berkualiti. Beliau bijak menghidu peluang, sentuhan yang tajam, bekerja keras untuk pasukan dan sangat komited di dalam dan luar padang.

Danial Asri amat menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan kepadanya walaupun masih muda – berusia 21 tahun. Beliau juga mengakui banyak belajar daripada Ifedayo Olusegun.

Memetik kenyataannya di Cakap Sukan dua bulan lalu, “Ifedayo memang cukup bagus dalam padang dan banyak pengalaman serta tunjuk ajar yang saya dapat dari dia sama ada semasa latihan atau hari perlawanan.”

“Dia tidak pernah marah dan sentiasa berikan sokongan kalau saya ada buat silap malah sentiasa berikan kata-kata semangat untuk saya percaya dengan cara permainan sendiri. Saya sangat suka dengan suasana sebegini kerana khidmat pemain muda rasa dihargai dan saya sangat berterima kasih kepada jurulatih,” ungkapnya.

Untuk musim 2020, Danial Asri adalah penjaring terbanyak tempatan dengan tujuh gol dalam aksi Liga Premier.

Dan beliau berhasil meledak jaringan pertama dalam saingan Liga Super 2021 ketika Selangor menewaskan Penang FC dengan keputusan 4-1 pada 31 Julai lalu. Dan sejak itu, beliau sudah mendapat rentak untuk mencetak gol dalam saingan tertinggi Liga Malaysia itu. Di penghujung musim beliau mengumpul tiga gol.

Berdepan Terengganu pada Ahad, ia mungkin adalah satu perlawanan yang besar. Dengan kemungkinan Ifedayo Olusegun tidak diturunkan lagi nanti, sentuhan tajam Danial Asri tentu akan ditagih sekali lagi.

Walaupun kedua-dua pasukan sudah pun layak ke peringkat suku akhir, namun, mereka masih memburu kemenangan kerana tentunya mahukan menamatkan saingan awal dalam kedudukan teratas Kumpulan B.

Leave a Reply